Jelajah 10,000 kilometer

SELEPAS selesai mengharungi pengembaraan solo pertama selama enam bulan ke kota London kira-kira dua tahun lalu, kini saya sudah pun memulakan kembara berikutnya merentasi Nusantara dikenali sebagai Cabaran Khatulistiwa.

Perjalanan ini dimulakan pada awal bulan ini dan saya jangka ia bakal berakhir dalam tempoh dua bulan membabitkan jarak keseluruhan sejauh 10,000 kilometer (km).

Alhamdulillah, segala persiapan untuk pengembaraan kali ini seperti penyediaan motosikal, permit, keperluan diri serta laluan perjalanan dapat disempurnakan dalam tempoh kurang sebulan.

Dengan motosikal kapcai 130 cc, saya selamat berangkat menaiki feri dari Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Disember lalu menuju Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia yang mengambil masa kira-kira lima jam perjalanan.

Jelajah 10,000 kilometer
Muatan feri begitu padat dengan penumpang khususnya warga Indonesia yang pulang ke kampung halamanmenyebabkan saya menjadi orang terakhir keluar dari pengangkutan air berkenaan sebaik sampai kerana tidak mahu berebut.

Disebabkan feri bertolak lewat dari jadual, hari sudah senja ketika feri berlabuh, justeru saya memutuskan untuk mencari tempat penginapan bagi rehat yang secukupnya sebelum memulakan pengembaraan ke Medan, Indonesia sejauh 300 km pada keesokan hari.

Perjalanan ke Medan tidaklah jauh mana, tetapi disebabkan cara pemanduan mereka berbeza dengan kita, saya berasa kekok dan perlu menyesuaikan diri.


Sebaik sampai di Medan, seperti biasa, pencarian tempat berteduh dilakukan kerana hari sudah lewat petang dan sememangnya malam bukanlah waktu sesuai bagi saya untuk mengembara bersama motosikal.

Bangun pagi, saya memulakan perjalanan ke Lhokseumawe, Banda Aceh iaitu bandar pelabuhan yang terletak 350km ke utara Medan.


Walaupun saya pernah ke Banda Aceh bagi khidmat kemanusiaan sewaktu ia dilanda tsunami pada 2004, saya agak hilang arah sewaktu tiba kerana semuanya sudah berubah.


Kesan bencana itu kini tidak lagi kelihatan, namun ada beberapa lokasi dijadikan sebagai tempat bersejarah untuk kunjungan.


Menjelang hari seterusnya, saya bangun lebih awal berbanding biasa dan bersiap untuk ke Meulaboh. Perjalanan kurang 300km ke bandar paling teruk dilanda tsunami ini diiringi hujan sepanjang petang dan ketibaan saya pastinya disambut dengan hari gelap.


Sesudah melelapkan mata sepanjang malam, dengan minyak penuh dalam tangki motosikal, saya mula menunggang lebih jauh iaitu sekitar 500km menuju Danau Toba pada hari berikutnya.


Mengikut perkiraan, saya akan tiba lebih lewat kerana struktur muka bumi sepanjang jalan agak bergunung-ganang dan seperti dijangka, hujan renyai dan lebat lebih memperlahankan tunggangan.


Sampai saja di pekan Sidikalang, waktu sudah menunjukkan jam 6 petang dan saya perlu berhenti kerana hari bakal gelap sementara ada 100km lagi untuk sampai di Danau Toba.


Diiringi keadaan basah lencun akibat hujan, saya gagahkan diri mencari tempat bermalam menanti esok hari.


Suara azan mengejutkan saya pada hari keesokannya. Saya memulakan perjalanan dan bercadang berehat selama dua hari di Danau Toba bagi menyiapkan kisah saya berserta foto yang diambil.


Selepas empat jam, tibalah saya di Danau Toba dan satu bilik kecil di tepi tasik diambil untuk merehatkan diri disamping menyiapkan coretan ini untuk tatapan semua.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers