Masalah parkir sukar diatasi

KUALA LUMPUR: Kekurangan tempat letak kereta di ibu kota turut mempengaruhi orang ramai menggunakan perkhidmatan awam atau menaiki motosikal ke kawasan padat di tengah ibu kota untuk ke tempat kerja.

Contohnya di Jalan Masjid India dan Masjid Jamek yang menjadi tumpuan orang ramai dan terdapat banyak syarikat swasta terutama perbankan menyebabkan masalah parkir menjadi isu utama yang masih belum dapat diselesaikan.

Lebih memburukkan keadaan, ada pihak cuba menangguk di air keruh dengan mengenakan caj parkir terlalu mahal hingga mencecah RM20 sekali masuk.

Masalah parkir sukar diatasi


Pekerja am sebuah agensi kerajaan, Yahya Abu Bakar, 45, berkata masalah kekurangan tempat meletak kenderaan di ibu kota memang sukar diatasi dan langkah terbaik ialah dengan menggunakan perkhidmatan awam.


Namun, katanya, mutu perkhidmatan awam perlu dipertingkatkan agar pengguna lebih selesa menggunakannya sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.


Dia yang hampir 10 tahun tinggal di Kuala Lumpur berkata, masalah kekurangan tempat letak kenderaan sering mengganggu warga kota dan perlu ada tindakan drastik dilakukan kerajaan bagi mengurangkan masalah ini.

“Kita lihat saja di Bukit Bintang, Jalan Tunku Abdul Rahman serta beberapa kawasan sekitar ibu kota, tempat meletak kenderaan sentiasa penuh dan kalau ada pun caj yang dikenakan terlalu tinggi,” katanya.


Sementara itu, kakitangan swasta, Mohd Hafiz Ismail, 29, berkata, walaupun pelbagai langkah diambil untuk mengatasi masalah parkir, ia masih belum dapat diatasi kerana jumlah penduduk semakin bertambah dari hari ke hari memandangkan statusnya sebagai ibu kota.

“Saya memang malas untuk menggunakan kenderaan sendiri kerana masalah tempat letak kenderaan yang terlalu sukar diperoleh. Cuba bayangkan, kalau keluar dengan kereta, kemungkinan besar tidak dapat parkir dan ini menjadi masalah utama di ibu kota sehingga menyebabkan orang ramai lebih selesa menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers