Rompak budak 2 tahun

KOTA BHARU: “Ketika kejadian, saya terlebih makan pil khayal dan tidak berniat cederakan sesiapa. Saya rayu hukuman ringan dijatuhkan... Yang Arif,” kata seorang penganggur, Mohd Suhaidee Hussin, 33, sebelum dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan merompak kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang memakai seutas rantai leher emas di sebuah pasar raya di Kubang Kerian, pada Oktober lalu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merompak rantai leher kanak-kanak itu dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya Mydin Kubang Kerian pada jam 5.25 petang, 19 Oktober lalu.

Rompak budak 2 tahun


Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 394, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga bapa mangsa, Ahmad Fardlee Syawal, 30, bersama keluarganya ke pasar raya berkenaan sebelum mendapati tertuduh menolak anaknya dan kanak-kanak terbabit menangis.


Pengadu melihat leher anaknya berdarah dan mengejar tertuduh kerana mendapati rantai leher anaknya tiada.

Tertuduh yang berjaya ditahan kemudian diserahkan kepada pengawal keselamatan dan anggota polis.


Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadap tertuduh menemui seutas rantai leher emas di dalam poket depan seluarnya.


Terdahulu, Nor Hamizah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana jenayah itu membabitkan seorang kanak-kanak dan berlaku di kawasan orang ramai.


“Kejadian ini berlaku di pasar raya iaitu tempat awam, sekali gus menggambarkan keadaan tidak selamat kepada masyarakat di mana-mana tempat sekali pun.


“Pelakuan jenayah tertuduh turut menyebabkan kanak-kanak itu cedera dan saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal,” katanya.


Azman kemudian menjatuhkan hukuman itu dan mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada hari kejadian.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers