Kemasukan diperketat

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Januari 2013, semua karyawan drama dan filem tempatan dan antarabangsa diwajibkan berdaftar dengan persatuan artis di negara ini.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat yang diadakan antara Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi; Presiden Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima), Khir Mohd Noor; Naib Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Abdul Rahim Awang bersama wakil Bahagian Pelesenan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), semalam.

Kemasukan diperketat, Bermula 1 Januari 2013, semua karyawan drama dan filem tempatan dan antarabangsa diwajibkan berdaftar dengan persatuan artis di negara ini.


Zed berkata, pendaftaran artis sama ada pengarah, pelakon dan kru yang ingin bekerja dibuat mengikut syarat Padu Citra yang dikuat kuasa sejak 1997.

“Mengikut syarat itu, pengarah perlu berdaftar menjadi ahli FDAM, pelakon dengan Seniman manakala kru di bawah Profima,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, mana-mana artis yang gagal mengikut syarat berkenaan mengakibatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) tidak dikeluarkan Finas pada syarikat produksi terbabit.


Katanya, produksi atau artis yang tidak mematuhi syarat ini boleh dikenakan kompaun mengikut Akta Finas 1981 sebanyak RM1,000 manakala peralatan penggambaran dirampas.

“Pada masa sama, Surat Sokongan Kemasukan Pekerja Filem Asing (PFA) yang dikeluarkan Finas pada artis luar negara turut diperketatkan iaitu mereka perlu meminta surat sokongan tiga persatuan artis berkenaan sebelum kebenaran bekerja diberikan,” katanya.


Zed berkata, keputusan memperketat SPP dan PFA dibuat selepas berlaku kes pelakon seksi Indonesia, Julia Perez atau Jupe didakwa berlakon di negara ini tanpa permit.

Jupe yang membintangi filem ‘Sentuhan Malam Pertama’ arahan Murali Abdullah tidak memohon PFA dan mencetus kontroversi apabila mengutuk kualiti drama tempatan menerusi laman sosial twitternya.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad pula berkata, walaupun pihak terlepas untuk membuat operasi kelmarin tetapi pihaknya turut bertindak mengambil kenyataan daripada pihak produksi terbabit.


“Sepatutnya jika imigresen mendapat maklumat awal, serbuan boleh dilakukan di lokasi penggambaran. Namun, kami akan menyiasat terperinci sebelum tindakan boleh diambil,” katanya.


Beliau berkata, Seniman dan Finas perlu lebih bekerjasama pada masa akan datang dalam menyampaikan maklumat pada produksi dan Imigresen.


“Saya berharap kes Jupe ini memberi kesedaran pada produksi lain mengenai kesalahan dan keperluan mendapatkan permit sebelum bekerja di negara ini.


“Merujuk kes Jupe, imigresen menyiasat sama ada Jupe berlakon di sini. Tindakan boleh dikenakan pada artis mahupun produksi itu sendiri,” katanya.


Mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963, jika seseorang individu itu melanggar syarat pas lawatan sosial boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers