Anak sakit ayah tergolek

KUALA TERENGGANU: Niat seorang warga emas mengambil upah menebang pokok untuk membiayai rawatan dua anaknya yang menderita penyakit kemurungan terbantut apabila dia terlantar di katil wad sejak 11 hari lalu selepas tulang paha kedua-dua kakinya patah akibat terjatuh daripada pokok manggis setinggi 10 meter.

Sidek Awang, 68, yang ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, berkata, dalam kejadian jam 10 pagi pada 6 Disember lalu, dia dan dua rakannya mengambil upah menebang pokok berkenaan yang dianggarkan berusia 30 tahun di Kampung Laut, di sini.

“Sebaik tiba, saya terus memanjat pokok manggis itu untuk mencantas dahan kecil bagi memudahkan kerja penebangan.

Anak sakit ayah tergolek


“Malangnya belum sempat sampai ke puncak pokok itu, saya terpijak dahan reput menyebabkan saya hilang imbangan dan terhempas di atas tanah.

“Dua rakan yang memanaskan enjin mesin gergaji berantai di bawah pokok manggis itu tergamam melihat saya tersembam di atas tanah,” katanya.


Sidek berkata, akibat terhempas kuat, dia tidak sedarkan diri dan dihantar ke HSNZ dengan ambulans.

Sementara itu, isterinya, Kelsom Ismail, 61, berkata, dia terkejut apabila jiran memaklumkan kejadian menimpa suami sebelum bergegas ke lokasi kejadian.


“Sebak hati saya melihat kedua-dua belah kaki suami yang terkulai ketika dia diangkat masuk ke dalam ambulans,’’ katanya.

Menurutnya, dia banyak kali menasihatkan suaminya supaya jangan bekerja lagi, namun disebabkan anak sulung, Natrah Sidek, 40, dan anak kedua, Rozlina Sidek, 38, diserang penyakit murung lebih 15 tahun lalu, suaminya terpaksa bekerja keras mengambil upah menebang pokok dan memanjat pokok kelapa untuk menampung perbelanjaan rumah serta kos rawatan kedua-dua anaknya itu.


Kelsom berkata, dia dimaklumkan, doktor merancang untuk memasukkan besi pada kaki suaminya untuk membetulkan semula tulang paha yang patah itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers