Istimewa nasi lemak sushi

KUALA LUMPUR: Nasi lemak sushi, durian goreng dan karipap bai antara sajian gabungan moden serta tradisional yang menarik lebih 2,000 pengunjung ke Pesta Makanan Penjaja Fabulous Food 1Malaysia di Pasar Seni, di sini, semalam.

Pelancong dari Cyprus, Natalie Ansimo, 37, berkata, dia tidak melepaskan peluang mencuba durian goreng yang lazimnya boleh didapati di gerai penjaja pasar malam di Taman Connaught, Cheras, SS2 Petaling Jaya dan Pandan Indah. “Sebelum ini, saya sudah cuba makan durian di Pulau Pinang, tetapi tidak berapa gemar. Namun, saya suka durian goreng ini,” katanya.

Hidangan menggunakan durian D24 tanpa campuran durian kampung itu dimasak dalam tempoh 10 saat bagi mengekalkan kesejukan isinya di samping memberikan lapisan luar yang rangup..

alt


Menurut pemilik gerai, K K Choo, 25, durian goreng itu mendapat permintaan tinggi apabila dijual antara 500 dan 1,000 biji, semalam.


Pelancong Australia, Val Miller, 59, pula memilih karipap bai, kuih yang kian popular di Johor Bahru dengan pilihan inti seperti kari ayam dan daging pada harga antara RM2 dan RM2.50.


Menariknya, pastri hidangan dikatakan berasal dari Tanjong Pagar, Singapura ini menggunakan adunan istimewa menghasilkan tiga atau empat jalur lapisan luar yang enak.

“Kami suka mencuba hidangan yang dijual di gerai penjaja berbanding makanan dalam restoran apabila bercuti,” katanya.


Manakala, pelajar dari Amerika Syarikat, Jessica Ranucci, 24, pula menggemari hidangan sate dan nasi himpit yang tidak terdapat di negara asalnya.

Penjaja dari Medan Selera Sri Angkasa di Bangsar South, Fazliyanti Mohd Nidzar, 36, pula mengambil peluang mempromosikan nasi lemak sushi, idea daripada adiknya yang berpengalaman luas dalam masakan Jepun.


Katanya, menu menggunakan beras sushi tetapi dibalut dengan ikan bilis dan sambal sotong menarik ramai pengunjung. Selain hidangan itu, acara itu turut menawarkan hidangan penjaja seperti Murtabak Anda dari Pasar Chow Kit, putu bambu, Otak-otak Selayang dan roti himpit.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers