Teater Raja Lawak: Eliza Mustafa Ganti Tiara Jacquelina


Teater Raja Lawak, Eliza Mustafa, Ganti, Tiara Jacquelina, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


KUALA LUMPUR, 13 JAN 2013: Pensyarah Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA), Eliza Mustafa telah diberi kepercayaan untuk menerajui watak Juliah dalam teater Raja Lawak yang pada asalnya dibawakan Datin Seri Tiara Jacquelina.

Hal ini disahkan oleh pengarah dan penulis teater tersebut, Zakaria Ariffin, selepas pengumuman pelakon bagi watak tersebut disimpan semasa sidang medianya diadakan pada Disember lalu.

Sedikit-sebanyak mengenai Eliza Mustafa, anak jati Negeri Sembilan ini bukanlah orang baru dalam dunia teater. Penglibatannya telah bermula sejak 1996 dan pernah terlibat sebagai pereka tari teater Gamat selain berlakon dalam teater Bangsawan arahan Rahman B.

"Dalam Raja Lawak, saya memegang watak yang pernah dilakonkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina. Ini merupakan cabaran besar kepada saya untuk membawa watak mengikut pemahaman dan cara saya sendiri selain cuba menepati kehendak pengarah," ujar Eliza semasa sesi latihan teater Raja Lawak di ASWARA baru-baru ini.

Melakonkan watak Juliah‟ serta digandingkan dengan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Jalil Hamid, Imuda dan Abon merupakan pengalaman dan peluang yang besar buat dirinya.

"Apatah lagi bila bergandingan dengan beberapa pelakon asal teater ini seperti Jalil Hamid dan Imuda, ia pastinya membuat saya lebih teruja dan bersemangat untuk membawa watak tersebut dengan sebaiknya," tambah Eliza.

Menurut Zakaria Ariffin pula, watak Juliah‟ diberikan kepada Eliza kerana pengalamannya dalam dunia teater.

"Saya yakin dengan kebolehan Eliza untuk membawakan watak tersebut sebaiknya," katanya lagi.

Eliza juga berharap semua pihak yang terlibat dalam pementasan ini berpuas hati dengan lakonannya serta dapat memberi persembahan terbaik semasa pementasan dijalankan nanti.

Teater Raja Lawak ini bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 16 hingga 25 Januari ini. Teater ini merupakan produksi terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ASWARA. Tiket boleh didapati pada harga RM20, RM30, RM40 dan RM50 menerusi laman sesawang www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi talian 03-4147 8600.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers