Pelan Pembangunan Shila Amzah Bergelar Superstar Antarabangsa


Pelan, Pembangunan, Shila Amzah, Bergelar, Superstar, Antarabangsa, Artis Malaysia, Hiburan, Malaysia


Teks oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

KUALA LUMPUR, 13 JAN 2013: Mengimbau kejayaan yang diraih Shila Amzah dipentas yang boleh dikatakan asing buatnya, pertandingan Asian Wave 2012 yang diadakan di Shanghai tahun lalu benar-benar mengubah keseluruhan kehidupan dan juga karier seni gadis berusia 22 tahun ini.

Kini Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah akan memulakan misinya untuk bergelar superstar bertaraf antarabangsa. Ini merupakan salah satu habuan yang ditawarkan penganjur Asian Wave, Shanghai Media Group (SMG) kepada juara pertandingan tersebut.

Dalam pada itu, sebelum dia memulakan perjalanan karier seninya di China, Shila Amzah telah dilantik menjadi Duta Persahabatan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan majlis tersebut telah pun berlangsung pada 10 Januari 2013 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Shila yang kini sangat sibuk mempersiapkan diri telah diwakili bapanya, Amir Amzah atau ND Lala yang juga bertindak sebagai wakil yang dilantik SMG untuk menguruskan perjalanan karier Shila di luar China. ND Lala bersama Mr Ong Peng Choo serta Shila dan ibunya, Fauziah Sarman akan berlepas ke China pada 15 Januari ini.

"Shila masih ada beberapa komitmennya di sini antaranya bersama Safi Balqis. Sebaik sahaja selesai acara tersebut kami akan berlepas ke Shanghai pada 15 Januari ini. Pemergian kali ini adalah untuk bertemu dengan pihak pengurusan SMG di sana.

"Ini termasuklah perbincangan daripada segi pemilihan lagu dan material untuk album Mandarin dan Inggeris Shila. Dalam masa yang sama Shila juga akan dijelaskan mengenai siri-siri jelajah yang telah diaturkan buatnya ke beberapa lokasi di China.

"Selepas ini Shila memang akan berada di bawah pengurusan SMG dan akan based di Shanghai. Ini merupakan ganjaran yang telah dijanjikan penganjur Asian Wave kepada juara pertandingan itu. Mereka meletakkan jangkamasa 3-5 tahun untuk menjadikan Shila 'superstar' dengan rencana yang telah sedia ada,"jelasnya sebagai wakil dan juga pengurus dari The Right Entrepreneur Sdn Bhd yang dilantik SMG untuk menguruskan karier Shila Amzah kelak.

ND Lala juga memberitahu bahawa kontrak ini merupakan perjanjian di antara pihak SMG dan The Right Entrepreneur Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkannya bersama Mr Ong Peng Choo untuk mewakili Shila bagi mempermudahkan urusan membentuk Shila menjadi penghibur bertaraf antarabangsa.

"Selepas ini Shila akan bermula dengan mempelajari bahasa Mandarin bagi memudahkan komunikasinya bersama peminat di China sebelum melebarkan sayapnya ke seluruh rantau Asia seperti ke Taiwan, Hong Kong, Korea dan negara di Asia Tenggara.

"Dengan adanya syarikat ini, segala urusan akan menjadi lebih mudah kerana segala kos dan juga semua perancangan akan diaturkan SMG dan saya bersama Mr Ong ditugaskan untuk melancarkan perjalanan misi SMG tersebut.

"Apa yang berlaku kini seakan mimpi yang bakal menjadi realiti buat Shila. Kerana itulah saya mahu Shila lebih menumpukan kepada peluang-peluang yang ada ini terlebih dahulu. Saya tidak mahu isu dan kontroversi seperti yang berlaku kini boleh menjejaskan usaha SMG untuk merealisasikan impian Shila selama ini,"tambahnya lagi.

Walaupun selepas ini Shila akan banyak memperuntukkan masanya di Shanghai, namun dia tidak akan melupakan peminatnya di Malaysia. Pelantun lagu Patah Seribu itu masih akan pulang untuk merakamkan album Melayunya dan memenuhi undangan di sini.

Kejayaan yang diraih Shila diharapkan dapat menjadi inspirasi buat semua peminatnya. Sebagai penyanyi daripada Malaysia, kejayaan Shila dicalonkan bersama 40 penyanyi antarabangsa lain di World Music Award 2012 lain dapat membuka mata dunia tentang kemampuan penyanyi dari Malaysia.

Diakhir perbualan, ND Lala akui sangat berbangga dengan pencapaian anaknya itu dan mengimpikan Shila dapat menjadi ikon untuk mewakili nama Malaysia ke pentas antarabangsa melalui bakat nyanyian yang dikurniakan kepada anak gadisnya itu.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers