Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
KUALA LUMPUR, 8 JAN 2013: Penantian penyanyi dan pemuzik bertaraf antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna untuk menjulang gelaran juara di pentas Anugerah Juara Lagu akhirnya tercapai kali ini apabila lagu Terukir Di Bintang ciptaan sepenuhnya oleh Yuna sendiri telah dinobatkan sebagai Juara Lagu 27 pada malam kemuncak yang telah pun berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.
Sepertimana yang diketahui ramai, Yuna yang baru sahaja menandatangani kontrak bersama pengarah muzik hebat, David Foster tidak dapat pulang untuk beraksi di pentas AJL kali ini dan kontroversi mula tercetus apabila pengganti yang dipilih Yuna iaitu Uji Rashid telah ditukarganti kepada Aizat Amdan dalam masa kurang daripada 3 hari sebelum Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) berlangsung.
Ketika sidang akhbar AJL 27 diadakan sejurus selepas berakhirnya AJL 27 semalam, pihak murai.com.my sempat menemui ibu kepada Yuna iaitu Puan Anum Wahab bagi mendapatkan sedikit komen dan ulasan mengenai kejayaan besar anak perempuannya itu di pentas AJL kali ini.
"Sebagai ibu sudah tentunya rasa bangga dan bersyukur sangat. Setelah melihat usaha dan kegigihan Yuna dalam bidang muzik yang dia minati, kejayaan ini seperti balasan kepada penat lelah dia selama ini.
"Setelah apa yang berlaku (isu pengganti Yuna), saya susah hati sebenarnya. Terima kasih banyak-banyak kepada team Aizat serta team Palauans yang telah memberikan persembahan terbaik walaupun menerima tanggungjawab ini di saat-saat akhir.
"Saya ada menghubungi Yuna sebentar tadi selepas lagunya diumumkan sebagai juara. Dia begitu gembira dengan kejayaan ini namun dia tetap agak terkilan tidak dapat bersama-sama meraikan kemenangannya itu. Dia juga berterima kasih pada Aizat kerana menyanyikan lagunya dengan baik,"ujar ibu Yuna, Puan Anum Wahab kepada murai.com.my.
Walaupun agak keberatan ketika diminta mengulas mengenai isu pengganti Yuna, Puan Anum berkata apa yang terjadi itu sebenarnya berada di luar bidang kuasa Yuna dan pengurusannya.
"Memang daripada awal lagi Yuna membuat keputusan untuk mengambil Uji Rashid sebagai penyanyi untuk lagu Terukir Di Bintang. Kami sekeluarga memang sangat meminati Uji Rashid dan sebab itu Yuna memilih dia.
"Apabila diberitahu Uji Rashid perlu diganti dengan orang lain, Yuna tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan dia tiada di sini. Jadi kami (pengurusan Yuna) akur dengan jalan penyelesaian yang diusulkan pihak penganjur untuk kebaikan semua pihak.
"Saya telah menghubungi sendiri Uji Rashid sendiri dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Alhamdulillah dia faham dengan situasi yang berlaku. Yuna juga ada menghubungi Uji untuk meminta maaf kerana terjadinya perkara seperti ini dan ianya berada di luar bidang kuasa Yuna,"ulasnya mengenai kontroversi membabitkan lagu Terukir Di Bintang di pentas AJL 27.
Ini adalah kali keempat pembabitan Yuna di pentas Anugerah Juara Lagu semenjak 2009. Ketika kemunculan pertamanya tersebut, Yuna telah merangkul tempat kedua menerusi lagu hit pertamanya, Dan Sebenarnya. Pada 2010, Yuna mempertaruhkan lagu Cinta Sempurna dan tahun berikutnya dengan Gadis Semasa dan Penakut tetapi Yuna pulang dengan tangan kosong.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.