AZIZ Satar (kiri), Sudin dan P Ramlee dalam satu adegan filem lakonan mereka. |
Oleh ADAM SALLEH
Kassim Baba: “Sekarang kamu boleh turunkan kamu punya tanda tangan.”
Ali Baba: “Ya kanda, ni surat pajak, ya kanda, apa orang kaya pun selalu masuk pajak gadai ke?”
Kassim Baba: “Apa kamu fikir orang kaya semua senang ke, kadang-kadang pun sesak la...”
Usahkan orang kaya, orang Melayu hakikatnya pada era filem Seniman Bujang Lapok ditayangkan di layar perak dulu tidak semewah sekarang.
Bukan saja sesak seperti apa dikata Kassim Baba, bahkan ramai orang Melayu ketika itu masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang, bahkan ada yang tahap papa kedana.
Namun segala keperitan hidup masyarakat Melayu yang baru setahun jagung menikmati kemerdekaan ketika itu bertukar ceria, gundah gulana yang mencengkam jiwa menjadi gembira tatkala melihat aksi S Samsuddin.
Watak Kassim Baba sindiran tajam terhadap orang Melayu yang mementingkan darjat dan harta benda. Dialog Kassim Baba yang memanggil Ali Baba “kamu” jelas menunjukkan, jika kita tiada harta, keluarga pun pandang sebelah mata, namun sebaik Ali Baba tiba-tiba menjadi kaya raya, keluarga jauh pun terus menjadi akrab.
Orang tamak selalu rugi diterjemahkan Kassim Baba dengan dialog: “Aduh, panas! Nasib baik kau panas, kalau kau tak panas, kau pun aku kebas.”
Bukan saja Kassim Baba, apa saja watak dibawa S Samsuddin atau Sudin, terutama sekuel Bujang Lapok, membuatkan kita sentiasa tidak kering gusi.
Lihat saja keletahnya dalam Bujang lapok, Seniman Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok, ada saja dialog Sudin yang menggeletek kita tanpa disedari terngiang-ngiang lalu membuat kita tersenyum sendiri.
Kehadiran Sudin sebenarnya menyuntik roh pada watak Ramlee dan Aziz untuk kita merasai warna sebenar masyarakat nusantara Melayu ketika itu.
Malah, pada hujung 1980-an, berlaku peristiwa menarik ketika rumah ibu penulis dijadikan lokasi filem usaha sama Malaysia dan Indonesia yang dibintangi Jenny Farida, Johan Saimima dan Abdullah chik.
Kebetulan RTM menayangkan filem Seniman Bujang Lapok. Agak mengejutkan tiba babak Ramlee, Aziz dan Sudin mahu diuji bakat oleh Ahmad Nesfu, tenaga produksi filem dari Indonesia itu berehat sebentar kerana mahu bergelak ketawa menyaksikan aksi menggelabah dan kalut Sudin ketika kali pertama melangkah ke studio Jalan Ampas.
Antara dialog yang dilafazkannya ketika itu adalah: “Hey apa punya lelaki pasal belacan pun kau nak pancung dia ke?” “Hey, apa shhhh, kau memang manusia durjana, sanggup kau guna kekerasan terhadap wanita, baik kau minta maaf, kalau kau tak minta maaf, lebam biji mata kau.”
Adegan ini menggeletek hero dan heroin pelakon Indonesia itu, dan menurut mereka filem P Ramlee, terutama Seniman Bujang Lapok, memberi gambaran sebenar di sebalik pahit getir menjadi orang filem.
Pertengahan 1990-an pula, ada sekeluarga orang berada dari Brunei mahu berjumpa Sudin. Kebetulan Sudin ketika itu berada di Kuala Lumpur dan atas bantuan Yusnor EF, dapatlah penulis menunaikan hasrat mereka berjumpa seniman tersohor itu di Kampung Atap.
Kini S Samsudin yang dilahirkan pada 1 Januari 1929 di Pasir Panjang tiada lagi. Seniman tersohor yang bermula sebagai pelakon tambahan menerusi filem Chempaka pada 1948 itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.56 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan, Singapura pada 4 Jun lalu akibat serangan jantung dan paru-paru berair.
Allahyarham berkahwin dengan Puteh Esmoon pada 1954 dan mempunyai tujuh anak serta 14 cucu. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang.
Berbanding dua lagi Bujang Lapok iaitu Ramlee dan Aziz, nasib Sudin tidak senikmat Aziz yang berstatus Datuk dan Ramlee yang bergelar Tan Sri.
Tiada anugerah tertinggi diberikan kepadanya, namun usah lupa, Sudin mengisi kekosongan jiwa kita dengan pelbagai aksi dan keletahnya yang membuatkan kita ceria sentiasa. Terima kasih Pak Sudin.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Al fatehah utk arwah
ReplyDeleteMudah-mudahan beliau diberkati dan dicucuri rahmat pada rohnya dan tidak diingiti pemergiannya adalah dengan kerana berlakon dan berlawak.
Delete