Saleha dah biasa tampil bertudung

Malaysia, Artis malaysia, Hiburan, Selebriti, Saleha, dah, biasa, tampil, bertudung, Siti Saleha


Oleh Rudy Imran Shamsudin

Tampil bertudung dalam filem mahu pun drama bukan sesuatu yang asing bagi pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Siti Saleha Mohd Baharum atau Saleha.


Sebelum ini, dia tampil bertudung dalam drama bersiri yang berjaya mengangkat namanya dalam industri penerbitan tempatan, iaitu Ustaz Amirul dan Syurgamu Ramadan. Dia turut tampil imej sama dalam filem, Pencinta.


Ramai memuji setiap kali dia muncul dengan watak wanita bertudung. Kata mereka, gadis kelahiran Basildon, England itu nampak manis dan ayu.


Sekali lagi, Saleha tampil bertudung dalam Memberku Hawa yang diterbitkan dengan kerjasama syarikat produk tuala wanita Kotex buat musim kedua.


Istimewanya, selain membintangi drama bersiri yang kini disiarkan di saluran Astro Ria setiap Rabu bermula Rabu lalu, jam 10 malam, Saleha turut dilantik menjadi duta produk terbabit bersama seorang lagi pelakon utama Memberku Hawa, Nad Zainal atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin.


Selaku jurucakap produk, Saleha turut terikat dengan pelbagai aktiviti, termasuk mengadakan promosi jelajah bertemu pelanggan dan peminat.


Drama bersiri Memberku Hawa punya ramai pengikut sejak ia ditayangkan pada musim pertama tahun lalu. Pastinya mereka sangat mengenali watak ditampilkan, malah apa dilakukan mereka pasti menjadi ikutan. Pada musim pertama, watak wanita bertudung dijayakan Faezah Elai.


Sebagai pelakon bagaimana Saleha berdepan situasi sedemikian, kerana tudung digunakan hanya untuk menjayakan watak Nur Hawa yang diwujudkan selepas Faezah tidak lagi terbabit.


Menjelaskan perkara itu, kata Saleha, setakat ini dia tidak menghadapi masalah dan kebanyakan penonton setia Nur Hawa faham dia bertudung bagi menjayakan watak.


“Nur Hawa seorang yang yakin dan positif. Sebagai gadis kampung dan hidup secara sederhana, dia harus mempelajari hakikat kehidupan dengan cepat dan pantas mengikut arus.


“Pengarah cuba menggambarkan perkara ini kerana banyak wanita muda di luar sana turut berdepan situasi serupa,” katanya.


Saleha juga yakin penampilannya yang jauh berbeza dengan watak Nur Hawa tidak akan menjadi isu atau mengelirukan penonton.


“Hakikatnya, mereka kenal saya. Apabila mengadakan promosi di luar bersama pengguna Kotex mahupun peminat, saya menjadi diri saya, tidak perlu tampil sebagai Nur Hawa.


“Setakat ini saya beberapa kali bertemu peminat dalam promosi jelajah yang diatur Kotex, termasuk di sebuah sekolah menengah baru-baru ini. Saya tidak bertudung seperti Nur Hawa.


“Maklum balas diberikan mereka sangat positif dan tidak pula ada pihak bertanya mengapa saya tidak bertudung apabila di luar atau menjadikannya isu,” katanya.


Jelas Saleha, yang penting selaku duta Kotex adalah dia menyampaikan mesej mengenai keyakinan diri dan memperkasa wanita muda memandangkan kualiti terbabit mampu membentuk persepsi mereka dalam masyarakat masa kini untuk bangkit berdepan cabaran harian.


Bercerita lanjut pembabitannya dalam Memberku Hawa, jelas Saleha, dia seronok apabila kali pertama digandingkan dengan Nad.


“Walaupun tidak pernah bekerjasama sebelum ini, mudah bagi kami mencari keserasian. Mungkin kerana masing-masing ada pengalaman dan bimbingan pengarah drama ini iaitu Bernard Chauly serta Lina Tan buat kami faham apa yang dimahukan dalam menggerakkan watak dibawa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers