Maya pilih Warner

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Maya, Pilih, Warner, Maya Karin, Darren, Warner Music Malaysia

MAYA Karin bersama Darren sewaktu pelancaran single terbaru beliau, Bintang Syurga, baru-baru ini.

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Ramai pihak sangsi apabila baru-baru ini pelakon serba boleh, Maya Karin Roelcke atau Maya memilih syarikat rakaman Warner Music Malaysia (Warner) menguruskan semua aktiviti seni dan kerjaya, termasuk lakonan serta jurucakap produk.

Tidak dinafikan Warner mempunyai kepakaran dalam mengembangkan kerjaya pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-49 dalam industri muzik tempatan, tetapi menguruskan aktiviti lakonan atau kontrak membabitkan jurucakap produk, ia sesuatu yang asing buat syarikat rakaman antarabangsa itu.


Timbul tanda tanya, apa yang membuatkan bintang utama filem Pontianak Harum Sundal Malam itu yakin untuk bernaung di bawah Warner sepenuhnya.

Lebih penting, apa yang dijanjikan mereka sehingga kata putus untuk kerjasama itu terjalin.


Ditemui di majlis pengumuman kerjasama terbabit dan pelancaran single terbaru Maya, Bintang Syurga, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy Kin Ming (Darren) mengakui ada perkara yang diketengahkan pihaknya membuatkan pelakon itu bersetuju.

Tambahan pula, kontrak antara mereka memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

“Mengembangkan kerjaya nyanyian Maya untuk pergi lebih jauh menjadi satu daripada fokus kami. Menyentuh mengenai isu pengurusan artis, yang penting adalah kontrak. Perkara ini jarang diberi penekanan oleh mana-mana artis.


“Memang Maya tidak menghadapi masalah untuk memahami kontrak tetapi sebenarnya ada perkara kecil disertakan dalam perjanjian dibuat boleh memberikan impak besar kepada kerjaya seni artis.

“Ini adalah kelebihan yang Warner miliki. Malah syarikat induk di Singapura dan Hong Kong menyediakan peguam untuk meneliti setiap perjanjian bakal dibuat membabitkan kerjaya seni Maya,” katanya.


Melihat latar kerjaya Maya pula, jelas Darren, sebagai artis punya nama besar dan perlu melakukan pelbagai perkara, dia harus mempunyai kumpulan kerja yang besar bagi menjaga segala kepentingan.


“Selain berlakon, menyanyi dan menjadi jurucakap produk, seperti yang kita ketahui Maya juga aktif dalam perkara lain seperti melaksanakan kerja amal dan aktiviti kempen kesedaran alam sekitar.


“Itu semua memerlukan tenaga kerja bagi membantunya supaya apa dilaksanakan dapat memberikan impak sama ada kepada diri sendiri mahupun masyarakat,” katanya ketika ditemui.


Darren turut menjelaskan ada tujuh kakitangan bertanggungjawab memantau perjalanan kerjaya seni pelakon itu dan waktu sama dia turut bertindak sebagai pengurus.


Menjelaskan lebih lanjut, antara aspek lain dilihat dalam kerjaya seni Maya adalah tuntutan hak royalti pelakon dan penyanyi itu. Mengambil contoh, sebagai pelakon, Maya membintangi hampir 20 filem, tetapi biasanya bayaran diterima hanya membabitkan kerja-kerja penggambaran dan promosi.


“Seperti kita ketahui sesebuah filem selepas habis tayangan di panggung, ia turut disiarkan dalam pelbagai saluran, termasuk penjualan dalam bentuk video cakera padat (VCD) atau cakera padat digital (DVD). “Namun sebagai pelakon, dia tidak memperoleh royalti terhadap keuntungan menerusi jualan VCD atau DVD terbabit.


“Perkara seperti ini yang akan pihak Warner lihat dan perjuangkan. Maya seharusnya memperoleh sebahagian keuntungan terbabit dalam bentuk royalti,” katanya, baru-baru ini.


Menyentuh perihal karier nyanyian pula, Maya yang menyepi sejak 2004 akan mengukuhkan kembali namanya sebagai penyanyi dan pihaknya turut merangka mengembangkan bakat anak seni berdarah kacukan Melayu-German itu di rantau Nusantara, terutama Indonesia.


“Sebelum melangkah ke luar, pihak kami terlebih dulu harus memastikan namanya sebagai penyanyi kukuh dalam negara. “Itu lebih penting sebelum kami membawa bakatnya ke luar negara. Malah, kami mempunyai perancangan lebih besar.


“Memandangkan dia fasih berbahasa Inggeris dan juga beberapa bahasa lain, Warner Music merancang untuk mengadakan kolaborasi dengan beberapa penyanyi antarabangsa yang turut bernaung di bawah syarikat kami.


“Ia secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada Maya dan memudahkan kami untuk mengembangkan bakatnya ke luar negara,” katanya ketika ditemui.


Menyentuh mengenai harga yang harus dibayar Maya terhadap segala perancangan besar dilakukan Warner, jelas Darren, tentu pihaknya mengambil sedikit keuntungan, tetapi apa yang yang bakal diperoleh Maya jauh lebih besar.


“Kontrak ditandatangani Maya tentu berbeza dengan kontrak pengurusan artis lain yang bernaung di bawah Warner kerana status pelakon dan penyanyi itu sebagai artis terkenal tanah air.


“Malah, kontrak yang ditandatangani boleh dibatalkan pada bila-bila masa mengikut persetujuan kedua-dua pihak. “Jika Maya tidak berpuas hati dengan apa yang Warner lakukan, dia boleh menarik diri tanpa sebarang paksaan.


“Perkara sama juga boleh dilakukan pihak kami jika berasakan dia gagal memenuhi perjanjian yang termaktub dalam kontrak ditandatangani. “Pada pendapat saya, perjanjian yang sudah kami persetujui sangat adil buat kedua-dua pihak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers