Maimon terus bertarung dengan kanser payudara

Malaysia, Hiburan, Artis Malaysia, Selebriti, Maimon, terus, bertarung, dengan, kanser, payudara


Oleh Adam Salleh

Berat memandang, berat lagi bahu memikul. Hakikat ini jelas terpancar di wajah dramatis Maimon Mutalib, 54, yang kini bertarung dengan kanser payudara tahap kritikal. Sejak dikesan menghidap penyakit berbahaya itu dua tahun lalu, Maimon seperti meminggirkan diri daripada lakonan.

Bukan merajuk atau tiada tawaran tetapi keupayaannya terhad dan dia tidak segagah dulu, sekali gus menyukarkannya beraksi di lokasi.


Pada waktu sama, sebagai ibu tunggal yang kematian suami 15 tahun lalu, tanggungjawab membesarkan lima anak masih tersandardi bahunya.

Bertitik tolak daripada kesedaran ini, pengarah Murali Abdullah dan Pengarah Urusan Enuja Production Sdn Bhd, Zainuddin Mohd Ismail, mendapat idea untuk menerbitkan drama Dari Asar Ke Isyak bagi membolehkan Maimon kembali berlakon, selain menampung kehidupan hariannya.


Ketika ditemui di lokasi drama ini di Taman Rimba Templer, kehadiran Maimon dinanti rakan artis. Kebetulan juga di taman berkenaam, satu lagi produksi menjalani penggambaran.


Tiba waktu rehat, pengarah drama di lokasi lagi satu, TS Jeffry dan tenaga produksinya melapangkan masa semata-mata mahu berjumpa Maimon. Begitu juga pengarah Norhan Mahmud yang hadir beri semangat kepada Maimon.


MAIMON bersama Emma Maembong dan Faizal Hussein di lokasi drama Dari Asar Ke Isyak.

Suasana sedikit pilu apabila Zainuddin terus mendakap Maimon bagai anak merindui ibu sebaik tiba di lokasi. Hampir dua tahun tidak beraksi di lokasi gara-gara penyakit kanser payudara dihadapi, kata Maimon, hanya Tuhan tahu betapa sepi dan rindunya dia pada bidang seni.


“Bidang lakonan menjadi darah daging dan sumber pendapatan saya sekian lama. Bagaimana saya mahu menerima tawaran, sedangkan penyakit saya memerlukan rawatan berterusan. Bagi saya, menyepi seketika di bidang lakonan ibarat berehat,” katanya.

Menurut Maimon, kali terakhir dia berlakon dalam drama Raja Bola terbitan RTM. Ketika penggambaran drama itulah Maimon jatuh sakit.


“Saya masih berhutang dua babak untuk drama itu. Saya tidak dapat meneruskan lakonan dalam Raja Bola kerana terlantar 10 hari di hospital bagi menerima rawatan kemoterapi.


“Mengenangkan penyakit dihadapi, terfikir mungkinkah itu episod terakhir saya dalam dunia lakonan,” katanya.


Dalam Dari Asar Ke Isyak, Maimon berlakon di samping Faizal Hussein, Emma Maembong, Sofi Jikan, Sweet Farhana dan Naim Daniel.


Bagi Maimon, berkali-kali dia mengucapkan terima kasih kepada pengarah dan produser drama itu yang disifatkan memahami keadaan dirinya.


“Sebagai pelakon, kita kena ikut apa saja arahan pengarah. Berbeza pula dalam drama ini, Murali sering bertanya sama ada saya larat atau tidak.


“Saya tidak sanggup lengahkan kerja penggambaran ini, selagi larat, saya kata lebih baik diteruskan. Bimbang saya membazir waktu dan wang.


“Saya akui kudrat tidak seperti dulu yang boleh menjerit, berlari, bahkan mengamuk. Justeru, untuk Dari Asar Ke Isyak ini, babak saya kurang memeras kudrat.


“Saya banyak duduk di kerusi roda dan dialog dilontarkan pula tenang saja, tidak menjerit-jerit seperti dulu,” katanya.


Sementara itu, Murali berkata, Dari Asar Ke Isyak sememangnya dihasilkan khusus untuk menarik kembali Maimon ke pentas lakonan.


“Bakat lakonan kak Maimon sangat besar. Sebagai pengarah, rugi jika bakat besar itu kita biarkan terlantar bersama penyakitnya.


“Pada waktu sama, menjadi tanggungjawab kita sesama saudara Islam untuk membantu rakan taulan di dalam kesusahan, maka drama inilah hasilnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers