DAFI bersama Schofield. |
Oleh Shakilawati Abd Rahman
Sukakan kelainan dan sesuatu di luar kebiasaan, Dafi memilih memelihara ular dari spesies Ball Python, lima tahun lalu. Pencinta haiwan ini menatang reptilia diberi nama Scofield itu bagaikan minyak yang penuh.
Dia sanggup berhabis demi keselesaan Scofield. Buktinya, dua minggu lalu Dafi membelanjakan RM2,000 untuk menukar hiasan dalaman sangkar ular kesayangannya. Malah, sangkar yang dihadiahkan bapanya lebih setahun lalu ditempah khas dan diletakkan dalam kamar tidur.
Baginya, ular haiwan unik dan mudah dijaga. Bagaimanapun, sebelum mengambil keputusan memelihara reptilia terbabit, Dafi terlebih dulu mengisi dada dengan ilmu sebanyak mungkin. Tidak kira sama ada melalui pembacaan atau bertanya mereka yang biasa membela ular.
“Dari kecil saya suka bela haiwan. Macam-macam jenis pernah saya bela. Kalau ke zoo, saya tak lepaskan peluang bergambar dengan ular.
“Bagi saya, ular haiwan eksotik. Minat terhadap reptilia itu semakin menebal selepas lihat ular dipelihara Ezlynn. Selain membaca, saya banyak belajar daripadanya.
“Mulanya saya mahu beli spesies albino tetapi apabila tahu harganya ribuan ringgit dan mudah mati kalau pemilik tak ada pengalaman, saya putuskan beli anak Ball Python.
“Spesies ini sesuai kalau dibela di rumah kerana panjangnya maksimum lima kaki. Kalau jantan, empat kaki saja. Spesies lain boleh mencecah 20 kaki, macam mana nak simpan kalau besar sangat.
“Harga anak Ball Python yang saya beli RM350. Sekarang usianya lima tahun. Senang jaga sebab dia makan dua minggu sekali atau sebulan sekali.
“Harga makanannya pun tak mahal, paling tinggi RM50 sebulan. Sekali makan cuma lima hingga 10 ekor tikus. Air minumannya pun seminggu sekali saja kena tambah.
“Memang jimat. Kalau nak bagi makan, saya akan hantar ke kedai haiwan peliharaan sebab tak sampai hati tengok,” katanya.
Tambah Dafi, jangka hayat Ball Python adalah 20 tahun dan jika dibela di rumah boleh mencecah 25 tahun. Penjagaannya juga tidak renyah, malah tidak perlu dimanjakan sangat kerana spesies ini pemalu dan suka menyendiri.
Jika bekerja di luar daerah untuk tempoh lama, Dafi akan menghantar Scofield ke kedai penjagaan haiwan. Walaupun harga perkhidmatan dikenakan mahal, dia tidak kisah demi ular kesayangannya.
“Saya percaya kalau kita sayangkan haiwan, ia juga akan sayang kita. Saya jaga Scofield dengan baik, malah sekarang ia sudah gemuk. Selalu juga Scofield tidur dan bermain-main dengan saya. Kalau lama tak melayannya, dia akan merajuk sekejap.
“Sesekali saya keluarkan Scofield dari sangkar dan biar dia bebas bergerak di bilik. Kasihan juga kalau asyik dalam sangkar saja.
“Walaupun saya tukar hiasan dalaman seperti letakkan lampu baru, ada gua, kayu untuknya bermain dan pokok tiruan, Scofield mesti bosan kalau hari-hari dalam sangkar.
“Memandangkan dia sudah besar, saya bawa dia keluar makan angin. Saya letakkan dia dalam beg khas, kalau makan, saya letakkan dia di kerusi sebelah.
“Bukan orang perasan pun sebab dia dalam beg. Dulu kawan takut dan geli, tetapi lama-kelamaan mereka dapat biasakan diri dan sayang Scofield,” katanya.
Sambil ketawa, Dafi berkata, dia baru saja menemui Scofield selepas tiga bulan hilang. Ketika tahu Scofield hilang, dia sangat kecewa. Puas digeledah seluruh rumah namun tidak bertemu. Sangkanya, mungkin Scofield keluar ikut tingkap dan tidak mungkin ditemui lagi.
Selepas insiden itu, ada keinginan untuk beli haiwan peliharaan baru, namun hati kecilnya menghalang. Dia bagaikan dapat merasakan kehadiran Scofield di rumahnya tetapi tidak tahu di mana reptilia itu bersembunyi.
“Saya sangat sedih bila Scofiled hilang. Apa tidaknya, lima tahun saya bela, tiba-tiba tak ada. Baru-baru ini, pembantu rumah saya jumpa Scofield bersembunyi dalam almari baju. Puas kami cari selama tiga bulan, rupa-rupanya dia lepak di celah-celah baju saya.
“Sekarang, saya beri perhatian lebih sebab tak mahu dia hilang lagi. Kena jaga betul-betul,” katanya yang turut memelihara 10 ekor kucing.
Menyentuh perkembangan terkini, pelakon Kisah Chenta Cornetto Uda dan Dara ini terikat dengan penggambaran drama rantaian Cintapuccino untuk RTM. Menerusi drama ini dia melakonkan watak utama di samping Aida Jebat AF9.
Selain itu, single terbarunya iaitu Salahkah Aku rancak ke udara di beberapa stesen radio dan dia akan merakam dua lagi lagu untuk album keduanya yang akan menjengah pasaran September nanti.
PROFIL
NAMA PENUH: Gadaffi Ismail Sabri
TARIKH LAHIR: 14 Disember 1988
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Profesional Seni Muzik dan Bunyi dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing
PENCAPAIAN: Finalis Akademi Fantasia 5 (AF5) dan tersingkir pada konsert minggu kelapan dan Artis Baru Lelaki Popular, ABPBH 2007
ALBUM: Dafi - Seumur Hidup terbitan KRU Studios Sdn Bhd
FILEM DAN DRAMA: Sayang U Can Dance, Apa Kata Hati, Hotel Mania dan Opah Popular.
IKLAN: Aiskrim Walls, Brands, Silky For Men, kempen 60 Earth Hour dan TM Everyone Connect
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.