Oleh Rudy Imran Shamsudin
Demi cintanya terhadap dunia nyanyian, penyanyi rock wanita popular awal 1990-an, Rahimah Shukor atau Emma, 40, memilih meneruskan kerjaya sebagai orang belakang tabir dengan menjadi promoter persembahan dan pengurus artis.
Kerjaya Emma sebagai artis rakaman bermula bersama kumpulan Revolusi dan pernah menghasilkan dua album iaitu Bayangan Misteri dan Kepastian diedarkan syarikat rakaman MSO pada 1989.
Mengikut jejak penyanyi seangkatan, Ella yang pernah menganggotai kumpulan The Boys, Emma kemudian bergerak secara solo dan bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia, bermula 1993 hingga 1997.
Nama Emma mula dikenali apabila beberapa lagu dendangannya seperti Kembalilah, Redup Tak Berimbun, Impian Semalam dan Kecil Tapi Pedas diminati ramai.
Sewaktu dihubungi, Emma menjelaskan, dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian namun kerana mengikut suami, Sazalie Mawasie berasal dari Singapura dan mahu mendapatkan status kerakyatan tetap (PR) membuatkan dia harus meninggalkan kerjaya dicintai itu buat seketika.
“Selepas bernikah pada 1998, saya kurang aktif sehingga 2005. Bagaimanapun, selepas syarikat pengurusan artis dan promoter yang saya tubuhkan iaitu Impact Music & Entertainment semakin berkembang, saya dan suami membuat keputusan menetap di Johor Bahru, Johor dan sesekali pulang ke Singapura,” katanya.
GAYA Emma ketika awal pembabitannya sebagai penyanyi rock wanita.
Jelas Emma, sepanjang menetap di Singapura, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan pengurusan artis dan penganjur persembahan apabila wujud permintaan untuk membawa artis tempatan ke negara itu.
“Sebenarnya, saya pernah membuat kemunculan semula dengan menghasilkan lagu duet bersama penyanyi utama kumpulan May, Mus iaitu Dunia Cinta sekitar 2009. Malah, saya pernah merakam lagu bersama Abot,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kerjaya sebagai promoter dan pengurus artis, kata Emma, bidang nyanyian sebati dengan jiwanya.
“Bukan saya tidak boleh buat benda lain, tetapi nyanyian sebati dengan diri hinggakan mahu bekerja pun masih memilih bidang berkaitan.
“Maklumlah saya menyanyi sejak 1989, pengalaman pun banyak, jadi apa salahnya sekarang saya curahkan segala ilmu yang ada kepada artis muda.
“Sebagai artis, saya melalui pelbagai cabaran. Dulu saya bermula dari bawah dan menguruskan diri sendiri, jadi pengalaman itu saya gunakan dengan menguruskan orang lain.
“Pastinya dengan pengalaman dan usia sekarang, saya semakin matang jadi apa perkara berlaku saya tahu bagaimana hendak kendalikan,” katanya.
Mengenai pengurusan artis, jelas Emma, dia bermula dengan menjaga artis Melayu yang bernaung di bawah syarikat penerbitan Singapura, Media Corp, antaranya Aliff Aziz.
“Sehingga kini, empat artis Singapura dan tempatan bernaung di bawah syarikat pengurusan Impact Music & Entertainment seperti The Sallys, Arus Band, Iya Nazihah dan Virus Cinta.
“Begitu juga sebagai promoter persembahan. Pada peringkat awal apabila ada tawaran mengadakan persembahan di Singapura, saya ajak sekali artis tempatan yang rapat.
“Bermula dari situ, ada permintaan untuk saya bawa artis bagi menjayakan persembahan. Lama kelamaan, perniagaan itu berkembang apabila ada artis dari Indonesia dan Brunei turut meminta saya membuat promosi dan menjaga perkembangan kerjaya seni mereka di Singapura,” katanya.
Impact Music & Entertainment turut menjalin kerjasama bagi menjayakan konsert besar seperti The Legendary Konsert, Johor Bahru, Konsert Rockarisma dan Countdown Get Together 2012 di Dataran Johor.
Pihaknya turut bekerjasama dengan Indigital Music bagi pemasaran single di Singapura.
Bercerita mengenai kehidupan berumah tangga, sepanjang 14 tahun berkahwin dia tidak dikurniakan cahaya mata, namun kegembiraan muncul apabila dia mengambil anak angkat, Sharrifah Luthfiyyah berusia tiga bulan.
“Kehadiran Luthfiyyah membawa kebahagiaan kepada saya. Dia ibarat hadiah kerana dia dilahirkan sehari selepas sambutan hari jadi saya pada 26 April lalu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.