Penerbit dan Pengarah filem LARI, Ahmad Idham Nazri |
Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI
Filem Lari lakonan Aaron Aziz, Dira Abu Zahar dan Erin Malek baru ditayangkan seluruh Malaysia, 6 Jun lalu, tetapi tiba-tiba saja penerbit dan pengarah filem itu, Ahmad Idham Nazri didakwa menerima SMS ugutan.
SMS ugutan itu dipercayai datang daripada seorang wakil pemamer yang dipercayai tidak berpuas hati kerana filem itu ditayangkan dalam format digital.
Kebanyakan filem terbitan tempatan ditayangkan format filem 35mm manakala filem luar negara selalunya diberi peluang menggunakan format digital, sesuatu yang tidak adil pada penerbit filem tempatan.
Untuk pengetahuan, format digital menghasilkan kualiti gambar lebih terperinci dan cerah, manakala sistem audio (bunyi) lebih menyerlah berbanding format 35mm yang disifatkan ketinggalan.
Ahmad Idham ketika dihubungi SELEBRITI terkejut bagaimana ia boleh tersebar dan menyifatkan ugutan itu lebih berbentuk peribadi yang tidak sepatutnya diperbesarkan.
“Saya tidak mahu memberi komen berlebih-lebihan pasal SMS itu, tetapi saya akui terkilan dengan apa yang berlaku. Sebelum ini, saya tidak pernah ada masalah bila berurusan dengan pihak pengurusan pemamer.
“Malah, pegawai terdahulu daripada pemamer itu sentiasa membantu penerbit filem tempatan hingga banyak filem tempatan mendapat kutipan bagus,” katanya.
Ketika ditanya punca masalah, Ahmad Idham mendakwa ia mungkin berpunca daripada filem terbaru arahannya ditayangkan dalam format digital di bawah kendalian pemamer yang menjalankan operasi di Alamanda, Putrajaya.
Sedar atau tidak, dengan situasi begitu banyak filem luar ditayangkan menyebabkan filem tempatan sering dianaktirikan, terutama apabila membabitkan tayangan di panggung digital tempatan.
Masalah ini dilihat bukan setakat di peringkat pemamer, tetapi sepatutnya diperinci Perbadanan Filem Nasional (FINAS) selaku badan pemantau dipertanggungjawabkan dalam soal kemajuan filem tempatan.
Pengarah yang pernah muncul dengan filem pecah panggung seperti Hantu Bonceng, Mael Lambong dan Adnan Sempit ini berkata, Finas sepatutnya mengambil langkah tegas untuk menguatkuasakan peraturan ke atas pemamer, terutama memberi keutamaan kepada penerbit tempatan yang sering dianaktirikan dalam negara sendiri.
“Saya percaya kebanyakan penerbit mahu FINAS lebih tegas dan terus bertindak dalam menangani isu format tayangan filem tempatan supaya tidak berulang.
“Pasaran kita tidak sebesar manapun, penerbit tempatan terpaksa bersaing dan berebut tempat dengan filem luar negara,” katanya yang meminta Finas terus membantu penerbit filem tempatan melangkah jauh ke persada dunia, seperti ke Festival Filem Cannes, baru-baru ini.
Ditanya mengenai Lari yang mendapat peluang ditayangkan kepada pembeli filem di pasaran antarabangsa melalui Marche du Film bersempena Festival Filem Cannes, bulan lalu, Ahmad Idham masih menunggu maklum balas daripada pihak syarikat yang membawa karyanya ke sana dan difahamkan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.
“Jika ada rezeki, kita akan ‘berlari’ ke luar negara. Biar pihak di sana selesaikan dulu segala urusan. Apabila bersedia, kami akan maklumkan,” kata Ahmad Idham yang kini sibuk menjalani penggambaran filem terbaru berjudul Cinderella dan super-telefilem raya berjudul Abang Long vs Kak Yong.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.