Bagaikan mimpi jadi kenyataan

Malaysia, Hiburan, Artis malaysia, Selebriti, Bagaikan, mimpi, jadi, Kenyataan, Datuk AC Mizal, 'Scha, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya


Oleh Hellinie Sina

Bagaikan bermimpi apabila peluang mengacarakan Anugerah Blokbuster 2 bersama Datuk AC Mizal ada dalam tangan. Kebetulan memang hasratnya mahu beri lebih tumpuan terhadap dunia pengacaraan tahun ini.

Namun, Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya mengakui berdebar setiap kali memikirkan tanggungjawab yang bakal digalas.


Benar, sebelum ini dia pernah mengendalikan program Sehati Berdansa, Kata Kau dan Muzik Muzik, namun penangan debaran kali ini sangat berbeza.

“Saya tidak senang duduk memikirkan majlis ini. Perut rasa kurang selesa dan bulu roma meremang. Perasaan teruja, gembira, berdebar dan bimbang bercampur baur.


“Banyak persiapan perlu saya lakukan, termasuk belajar menari dan menyanyi untuk persembahan pembukaan pada malam itu.


“Insya-Allah, dalam waktu terdekat saya dan AC akan berbincang konsep penyampaian dan skrip. Kami kena cari keserasian supaya tidak nampak kekok atas pentas.


SCHA dan AC akan berganding dalam Anugerah Blokbuster 2.

“Walaupun kami pernah mengacarakan program raya untuk Astro, ia bukan untuk siaran televisyen,” kata isteri Awal Ashaari itu.


Jelas Scha, meskipun biasa mengacara, banyak kelemahan perlu diperbaiki. Justeru, dia selalu mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada Awal.

Sebelum ini, dia cenderung menyampaikan maklumat yang tertera dalam skrip dan tidak berusaha untuk mengembangkannya.


Ada masanya fikiran anak jati Sungai Petani ini tiba-tiba kosong hingga lupa apa yang perlu diutarakan.


Bagaimanapun, bergandingan dengan AG Hot FM dalam Muzik-Muzik membuka mindanya apabila perlu meluaskan penggunaan Bahasa Melayu dan memperkayakan kosa kata.


“Orang mungkin nampak saya boleh mengacara tetapi bagi saya, banyak lagi perlu diperbaiki. Sebenarnya, banyak kelemahan yang perlu saya tangani, termasuk mengelak penggunaan perkataan sama berulang kali.


“Kalau banyak tahu kosa kata, ayat yang kita guna akan jadi lebih indah, sekali gus menjadikan penyampaian bertambah menarik dan tidak membosankan penonton,” katanya.


Menyambut ulang tahun ke-30 pada 30 Mei lalu, Scha terharu apabila menerima hadiah skuter daripada Awal. Dia pernah luahkan keinginan memiliki skuter kepada Awal dua tahun lalu dan tidak sangka suaminya masih ingat permintaan itu.


“Saya cakap sebelum kami berkahwin, tak sangka dia penuhi permintaan itu. Saya ada lesen motosikal, jadi tak ada masalah bergerak ke sana-sini dengan skuter itu.


“Senang sikit bila ada skuter. Bolehlah hantar stok ke gerai pakaian dan aksesori di The Curve. Kadangkala Awal jadi pembonceng. Dia percayakan saya,” katanya.


Pernah menjadi wajah eksklusif Astro selama dua tahun dan kini masih aktif berlakon dan mengacara di saluran televisyen berbayar itu, dia bersyukur apabila peluang untuk muncul di stesen TV lain terbuka luas.


Enggan mendabik dada, Scha berkata, semua itu rezeki daripada Allah SWT. Menurutnnya, setakat ini dia tiada masalah bekerja dengan mana-mana pihak, malah peluang yang diperoleh sama rata.


“Saya tidak tahu sama ada saya tergolong dalam kategori berdisiplin atau tidak, tetapi kalau datang lambat dari masa sepatutnya, kita kena berbaik dengan orang sekeliling.


“Janganlah datang lambat, lepas itu tunjuk muka ketat. Kalau itu yang kita buat, memang nak kena maki.


“Selama ini saya kerja bersungguh-sungguh dan sepenuh hati. Tiada istilah melepaskan batuk di tangga,” katanya yang bakal muncul dalam program Raya Luar Biasa, Melodi Raya, FBI Raya dan Kecohnya Pengacara sempena sambutan Aidilfitri. bakal ditayangkan.


Selain itu, drama Bila Hati Perempuan Menjerit kini ditayangkan di saluran Astro Prima.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers