Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
KUALA LUMPUR, 29 JANUARI 2013: Selepas mengahwini jejaka dari Perancis, penyanyi hitam manis, Nurul Wahab atau nama terbarunya Nurul Depp,36 bakal berhijrah ke Pulau Bali, Indonesia iaitu destinasi percintaan dia dan suaminya, Eric Depp,48.
Rencana penghijrahannya itu akan menjadi lebih bermakna apabila dia dan suami merancang untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat supaya dapat membesarkan buah hati mereka berdua itu di pulau idaman berkenaan.
Bercakap kepada portal murai.com.my, Nurul Depp berkata perancangan untuk berhijrah ke Bali itu hanya akan berlaku awal tahun depan memandangkan banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan sebelum ianya benar-benar berlaku.
"Memang kami suami isteri telah merancang ke arah itu dan sebagai isteri saya perlu mengikut ke mana saja suami saya berada. Tambahan pula Bali adalah destinasi kegemaran kami berdua.
"Dalam masa yang sama, mungkin itu adalah masa yang terbaik untuk kami membina keluarga kerana saya sekarang sedang berusaha ke arah itu. Apa yang saya harapkan agar semua peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk saya terutama dalam memperolehi cahaya mata dalam masa terdekat. Insya Allah," katanya kepada murai.com.my secara jujur.
Nurul Depp yang semakin sibuk menguruskan rumah tangga dan menjalani perniagaan makanan nutrisi kesihatan dari Amerika Syarikat bagaimanapun enggan memberi tahu tarikh sebenar penghijrahannya itu.
Namun katanya, dia tidak akan sekali-kali berhenti menyanyi walaupun sudah berhijrah ke sana, sebaliknya sedang merancang sesuatu yang lebih hebat dengan syarikat muzik di Indonesia bagi meluaskan sayapnya sebagai penghibur bertaraf nusantara.
"Saya berhijrah ke Bali kerana mengikuti suami saya. Tapi dalam soal nyanyian saya tidak akan lupakan begitu sahaja kerana ianya sudah menjadi darah daging saya sejak usia muda lagi.
"Mungkin selepas ini saya akan kerap berulang alik dari Bali ke Kuala Lumpur untuk tujuan nyanyian. Itu terpulang kepada keadaan. Apa yang pasti saya tidak akan bersara daripada menyanyi," jelas Nurul Depp.
Nurul Depp telah menjadi isteri yang sah kepada Eric Depp pada 6 Jun 2012 di Dutchess Place, Jalan Ampang. Mereka baru sahaja pulang dari berbulan madu di beberapa destinasi indah di Eropah sepanjang Disember lalu dan awal tahun ini.
moga berhasil rancangan mereka...
ReplyDeletea'aa semoga berhasil la hendaknya. dok kat Bali tu banyak duet dorang errkk??
Delete