Amran Ismail Terkejut Didakwa Tiru Lagu SM*SH

amran ismail, amran ismail ini janjiku, terkejut, gantirugi, Tiru, tiru, tuntut gantirugi, gantirugi, Syanie, artis malaysia, berita, gambar, berita terkini, hiburan, selebriti


Teks: Razif Rosdi
Twitter: @AjiebRosdi
Foto: Blackpepper Production

KUALA LUMPUR, 25 JAN 2013: Sebaik saja menjejakkan kaki ke tanahair daripada Brunei Darulsalam malam semalam, pelakon dan penyanyi Amran Ismail terkejut apabila mendapat tahu bahawa komposisi lagu ciptaan dan nyanyiannya, Ini Janjiku didakwa telah meniru lagu nyanyian kumpulan dari Indonesia, SM*SH, I Heart You.

Bagaimanapun, pelakon berbadan sasa ini menerima perkara berkenaan dengan hati terbuka dan berani memohon maaf seandainya dia telah melakukan kesilapan yang mencetuskan pelbagai pandangan negatif sehingga menyusahkan banyak pihak.

"Secara jujurnya, saya sendiri telah mengubah dan mencipta lagu tersebut. Saya hasilkan pada Julai tahun lalu. Saya terkejut setelah diberitahu pengurus saya akan hal ini. Saya minta maaf, sebenarnya saya tidak tahu akan kewujudan kumpulan SM*SH. Sebolehnya saya tak mahu komen lebih tentang hal ini.

"Mungkin apa yang berlaku hanya kebetulan saja. Saya sendiri tidak pernah mendengar lagu nyanyian SM*SH," katanya kepada murai.com.my, pagi tadi.

Meneruskan penjelasan, Amran yang lebih senang disapa Am mengatakan dia bukanlah manusia yang dikategorikan sebagai katak di bawah tempurung hanya kerana tidak mendengar lagu SM*SH.

"Sebelum menyanyi, saya lebih sibuk sebagai pelakon. Malah, jadual saya sebagai pelakon pun agak padat. Selepas pelancaran album tempoh hari pun, saya terus terbang ke Brunei untuk berlakon dalam drama yang bakal disiarkan di televisyen Brunei pada Ramadan tahun ini.

"Selepas tahu hal ini, barulah saya google dan ketahui siapa itu SM*SH. Saya tahu, mereka lagi popular berbanding saya yang masih kecil lagi dalam industri hiburan. Kalau boleh saya mahu berkolaborasi dengan artis yang lain termasuklah artis dari Indonesia.

"Sebolehnya saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini. Saya tidak mahu bermasam muka atau bergaduh dengan mereka. Saya mahu selesaikan perkara ini secara baik," jelasnya.

Dalam pada itu, Amran memberitahu, dia bakal berjumpa dengan pihak Warner Music Malaysia untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Saya betul-betul minta maaf kalau saya silap. Saya sendiri akan berjumpa dengan mereka. Sekali lagi saya katakan, apa yang berlaku ini hanyalah sekadar kebetulan. Perkara ini tiada kena mengena langsung dengan siapa tumpang populariti siapa.

"Saya tidak mahu bergaduh. Saya anggap apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Saya cipta lagu ini pun tak tiru mana-mana lagu. Saya dapat ilham secara humming saja. Kepada semua terutama sekali peminat SM*SH, saya minta maaf. Saya tiada niat nak meniru dan itu semua sekadar kebetulan saja.

"Itu sajalah yang boleh saya sampaikan," ujar Amran yang bakal membawa peminat bercuti ke luar negara sekali lagi.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers