Pameran Lukisan Ikonik Dato’ Siti Nurhaliza
Selepas berlalunya konsert amal Dato’ Siti Nurhaliza Live In KLCC - Where The Heart Is di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre awal Februari lalu, penyanyi tersohor negara Dato’ Siti Nurhaliza bakal meneruskan usaha murni untuk beramal melalui Yayasan Nurjiwa yang dinaungi bersama suaminya Datuk Khalid Md Jiwa atau Datuk K tersebut.
Melalui kolaborasi diantara syarikat produksi milik penyanyi tersebut, Siti Nurhaliza Productions dan Artelier Gallery Kuala Lumpur, ilham untuk merapatkan lagi umum dengan bidang seni halus melalui ikon dunia seni tempatan membawa kepada penganjuran sebuah pameran lukisan istimewa buat para peminat Dato’ Siti Nurhaliza.
Projek amal ini disertai oleh 17 orang pelukis-pelukis hebat dimana setiap karya yang dihasilkan mereka akan mengangkat Siti Nurhaliza sebagai subjek utama sebelum diolah menjadi karya bernilai tinggi.
Lukisan yang mempunyai nilai estetika tinggi ini tambah istimewa kerana ia menampilkan wajah pujaan ramai tersebut dimana idea utama pameran ini adalah untuk mengutip dana bagi Yayasan Nurjiwa yang diketahui antara badan NGO aktif membantu dalam pelbagai bencana atau musibah yang menimpa rakyat di negara ini.
Pameran seni berjudul Siti - An Iconic Exhibition of Dato’ Siti Nurhaliza ini akan mula dibuka kepada umum pada 27 Februari ini bertempat di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur setiap hari kecuali Isnin selama sebulan dan dijangka berakhir pada 26 Mac depan.
Galeri akan mula dibuka seawal jam 10 pagi hingga 8 malam di ruang pameran terbaru milik Artelier Gallery di pusat membeli belah Publika, Solaris Dutamas yang terkenal kerana sokongan mereka terhadap aktiviti seni seperti ini.
Senarai nama pelukis yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada Dhameer Abbas, Zizan Rozman, Adrian Torres Art, Nazmi Ismail, Scott Abbas, Shafiq Nordin, Muhammad Syahbandi Samat, Haffendi Anuar, Sabihis MD Pandi, Haafiz Shahimi, Amirfirdaus Ahamadtamizi, Firdaus Mahadi, Arikwibowo Amril, Nightwatcher's Imagery, Faiz Yunus, Azizi Latif dan Badruddin Syah Abdul Wahab.
wah menarik ni pameran ni...
ReplyDelete