MCA, Gerakan minta DAP bertaubat kerana cetus perkauman

MCA, Gerakan minta DAP bertaubat kerana cetus perkauman
DAP 'merampas' sepenuhnya Perhimpunan Besar 4.0 dengan niat buruk mencapai agenda
politik melalui kuasa demonstrasi jalanan

Parti DAP diminta supaya bertaubat dan meminta maaf kerana menjadi dalang dalam mencetuskan api perkauman semasa perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.

Perkara itu ditegaskan oleh pemimpin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MCA.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, perhimpunan Bersih 4.0 jelas ‘dirampas’ sepenuhnya oleh DAP dengan niat buruk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

“Demonstrasi Bersih 1, 2 dan 3 sebelum ini tidak menerima apa-apa tindak balas politik kerana sentimen perkauman dan keagamaan tidak diusik. Dalam Bersih 4.0 yang didalangi DAP, para penyokongnya memijak gambar pemimpin Melayu (Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Selain itu, mereka (penyokong DAP) buat istiadat pengebumian, memukul gambar guna penyapu dan ia menyinggung emosi orang Melayu,” ujarnya pada sidang media bersama Ketua Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker pada Rabu.

Menurut Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tindakan itu mencetuskan tindak balas berbau perkauman menerusi Himpunan Rakyat Bersatu atau Baju Merah pada 16 September lalu.

Malah, ada peserta dalam Himpunan Rakyat Bersatu itu memegang sepanduk supaya menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang padanya juga akan mencetuskan rasa kurang senang kaum Cina.

“Kami juga ingin menegur pelampau demonstrasi Baju Merah kerana ada dalam kalangan mereka juga membuat perkara yang berbau perkauman seperti kes Petaling Street,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lian Ker memuji tindakan Polis Diraja Malaysia kerana bertindak tegas ke atas dalang kedua-dua perhimpunan sama ada Bersih 4.0 dan Baju Merah.

“Kami ingin mengingatkan penyokong DAP dan Baju Merah supaya menghentikan tindakan negatif mereka dengan segera dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers