Bilakah Adnan Yaakob dan EXCO Pahang akan isytihar harta?

Bilakah Adnan Yaakob dan EXCO Pahang akan isytihar harta?
Menteri Besar Pahang berjanji untuk mengisytiharkan harta termasuk barisan
 kepemimpinan negeri dalam tempoh dua hingga tiga minggu tetapi sehingga kini belum ditunaikan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepemimpinan negeri dituntut menunaikan janji untuk mengisyiharkan harta yang telah dibuat pada 25 Ogos lalu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Chean Chung berkata, pengisytiharan harta sepatutnya hanya mengambil masa dua hingga tiga minggu sahaja.

“Namun, saya mendapati tidak kelihatan sebarang tindakan susulan berikutan pengumuman Menteri Besar Pahang sebulan yang lalu sedangkan beliau berjanji bahawa pengisytiharan harta hanya akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu.

“Persoalannya, adakah Kerajaan Pahang akan mengotakan janjinya dan mengisytiharkan harta Menteri Besar, Barisan 10 Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, ” katanya menerusi kenyataan media.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu berkata, masa yang terlalu panjang bagi menyediakan dokumen harta hanya akan menimbulkan kemusykilan orang ramai sama ada timbulnya sebarang kesulitan atau terdapat pengubahsuaian yang perlu dibuat dalam akaun mereka.

Katanya, pengisytiharan harta itu tidak harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, tetapi juga perlu dilaporkan di dalam media massa kerana semua warga Pahang berhak untuk mengetahui harta-harta yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin kerajaan.

“Ini merupakan cara yang terbaik bagi membuktikan integriti seseorang pemimpin.

“Saya berharap agar semua semua Menteri Kabinet termasuklah Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak yang berasal dari Pahang dapat meneladani tindakan Kerajaan Pahang dan umumkan hartanya dengan segera, bagi menjelaskan isu RM2.6 billion kutipan derma yang diterimanya,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers