PKR perjelas kemelut dengan PSM

PKR perjelas kemelut dengan PSM
Jawapan mengapa PSM tidak dijemput yang diberikan peserta Meja Bulat
hanya pandangan peribadi bukan pendirian rasmi PKR.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaaan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak dijemput ke rundingan meja bulat kerana perbezaan pandangan mengenai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, sewaktu rundingan meja bulat sedang berjalan, terdapat pihak yang bertanya mengenai PSM tidak dijemput namun segala jawapan itu hanya merupakan pandangan peserta yang hadir dan bukannya pendirian rasmi.

“Antara jawapan yang diberi peserta rundingan, tetapi bukan oleh Wan Azizah sendiri termasuklah PSM tidak sertai Pakatan Rakyat secara formal dahulu dan wujud perbezaan pandangan mengenai Perkara 153 pada ketika Pakatan Rakyat mahu dibentuk.

“Jawapan-jawapan ini hanyalah pandangan peserta rundingan dan bukannya pendirian rasmi mengapa PSM tidak sertai Pakatan Rakyat. Hal ini juga tidak dibangkitkan dengan niat jahat, tetapi hanya untuk mengingatkan peserta rundingan tentang konteks jemputan. Malangnya ia telah disalah faham,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Fahmi, jemputan rundingan meja bulat itu merupakan inisiatif yang dbuat oleh Wan Azizah seperti yang diperjelaskan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua.

“Jemputan tersebut telah dipanjangkan kepada parti-parti politik atau anggota parti politik yang telah terlibat secara langsung di dalam pembentukan dan pengurusan Pakatan Rakyat, selain daripada NGO dan individu-individu tertentu,” katanya.

Menurutnya, proses rundingan itu masih lagi berterusan dan PKR akan mengadakan perbincangan, rundingan, dan dialog dengan semua pihak termasuk PSM dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

“Demi membentuk pakatan pembangkang yang utuh, inklusif, dan kukuh bagi menghadapi UMNO-BN menjelang PRU-14,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers