Ringgit terus jatuh tapi PM tidak ambil tahu, dakwa Pas

Ringgit terus jatuh tapi PM tidak ambil tahu, dakwa Pas
Seperti tidak wujud lagi kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara
ekoran siasatan terhadap 1MDB yang menjadi antara punca nilai Ringgit terus merosot.

Pas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak langsung tidak mengambil tahu kejatuhan nilai Ringgit yang semakin merosot setiap hari.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Najib tidak memberi sebarang reaksi dan tidak membuat kenyataan berhubung kemerosotan nilai Ringgit itu.

Katanya, semua kenyataan tentang kejatuhan Ringgit hanya keluar daripada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang mencadangkan negara mengukuhkan kedudukan domestik bagi menghadapi cabaran kejatuhan ringgit.

Katanya, senario itu menunjukkan tiada lagi kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor BNM susulan siasatan yang dilakukan BNM terhadap 1MDB yang berkait rapat dengan Perdana Menteri.

“Pas bimbang sudah tidak wujud kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara ekoran siasatan terhadap 1MDB yang menjadi antara punca nilai ringgit negara terus merosot mencecah RM4.45 bagi USD1,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tuan Ibrahim berkata, Zeti hanya boleh berfungsi sepenuhnya sekiranya mendapat kerjasama penuh seorang Menteri Kewangan yang dapat fokus kepada tugasnya tanpa risau apa-apa skandal yang akan timbul kerana cuba menutup masalah di 1MDB.

Sehubungan itu, Pas mengulangi desakan Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan memberi tumpuan sepenuhya untuk menyelesaikan isu 1MDB.

“Perdana Menteri patut tumpu sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah 1MDB. Tempoh 6 bulan yang diberi Perdana Menteri pada ahli-ahli UMNO pada 14 Jun 2015, kini hanya tinggal 3 bulan sahaja,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers