Isu pendatang atau imigran tidak lagi boleh dikaitkan jika seseorang itu telah mendapat kewarganegaraan. |
Isu bangsa tidak seharusnya dikaitkan lagi sebaik sahaja seseorang itu menjadi warga negara kerana ia menghalang untuk mewujudkan ‘satu bangsa’, kata ahli sejarah terkenal, Profesor Emeritus Khoo Kay Kim.
“Kerajan meminta kita untuk kekal dalam bentuk bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Bangsa bermaksud kewarganegaraan.
“Jadi, apabila kita menjadi rakyat Malaysia dan menulis bangsa sebagai bangsa Cina, itu bermakna kita adalah rakyat dari negara China,” katanya dalam forum Mempertahankan Maruah Melayu malam tadi di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur pada Rabu.
Turut hadir di forum anjuran NGO Gabungan Merdeka Rakyat ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, bekas Ahli Parlimen Temerloh, Saifuddin Abdullah dan juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Raimi Abdul Rahim.
Khoo berkata demikian sewaktu diajukan soalan oleh hadirin mengenai label ‘pendatang’ yang sering kali digunakan sesetengah pemimpin terhadap kaum tertentu di Malaysia.
“Pendatang hanyalah suatu istilah. Orang yang datang dari negara lain dan menetap di situ adalah imigran.
“Tetapi, apabila mereka tinggal dalam waktu yang lama, dan menerima kewarganegaraan selepas memohon kewarganegaraan, mereka bukan lagi imigran, mereka adalah warga negara,” jelasnya.
Beliau juga merujuk kepada satu petikan yang dibuat oleh Presiden pertama MCA, Tun Tan Cheng Lock, ‘Satu negara, satu rakyat dan satu kerajaan’ dan menyatakan bahawa generasi muda kini gagal untuk menghargai makna tersebut.
“Sistem pendidikan kita telah gagal kerana di sekolah, para pelajar tidak diajar memahami sesuatu istilah tetapi diajar untuk menghafal perkataan. Mereka boleh menghafal lagu, tetapi apabila ditanya mengenai makna ‘Keluhuran Perlembagaan’, mereka tidak boleh jawab.
“Apa makna Satu Malaysia? Ia bukan satu bangsa, tetapi ia adalah Satu Negara,” katanya lagi.
Khoo melahirkan sedihnya terhadap situasi yang berlaku di Malaysia dan menegaskan bahawa budaya memainkan peranan yang penting dalam membina sesebuah negara yang lebih baik.
“Jangan percaya sains sahaja penting kerana kita tidak boleh membina ‘Satu Negara’ hanya menggunakan fizik dan kimia. Kita perlukan budaya dan budaya tidak bermakna hanya kesenian.
“Saya tidak tahu kemana arah generasi muda, kerana sikap mereka tidak sama dengan sikap generasi dahulu. Bahkan, pemimpin pula sibuk dengan pelbagai perkara dimana mereka seharusnya sibuk dengan bagaimana menjadikan negara ini seperti dahulu.
“Sebagai (ahli) generasi terdahulu yang masih hidup, saya berasa amat sedih,” katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.