Tindakan Reezal langgar protokol, boleh jejaskan hubungan Malaysia-China

Tindakan Reezal langgar protokol, boleh jejaskan hubungan Malaysia-China
Kerajaan Malaysia dijangka menyelesaikan isu Duta China
secara baik tanpa melibatkan tindakan persona non grata.

Tindakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang melanggar protokol dengan memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang boleh menjejaskan hubungan antara dua negara.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, Reezal telah melanggar prosedur dengan memanggil Duta China yang tidak setaraf dengannya.

Katanya, taraf seseorang duta adalah sama dengan jawatan menteri.

Oleh kerana itu, katanya, hanya Menteri Luar dan Pemangku Menteri sahaja yang layak memanggil Duta China jika mahu mendapatkan penjelasan.

“Kena ikut level (taraf). Kalau Reezal Merican nak panggil atas kapasiti dia (Timbalan Menteri), itu telah melanggar protokol. Jika kita salah prosedur, tak ikut protokol antara negara, ia boleh menjejaskan hubungan sebenarnya.
>
“Kalau level menteri atau pemangku (memanggi Duta China) itu sesuai kerana status menteri. Pangkat duta setaraf dengan menteri,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Tambah Aizuddin, sekiranya penjelasan yang dibuat oleh Huang tidak menyakinkan kerajaan Malaysia, tindakan Persona Non Grata (usir keluar daripada Malaysia) boleh dikenakan terhadapnya.

“Tapi kesannya agak besar. Kalau dikenakan Persona Non Grata ini kepada Duta China, ia secara automatik akan menjejaskan hubungan antara China-Malaysia. Itu satu risiko kalau Malaysia nak ambil.

“Tapi dalam konteks ini, saya fikir mereka (kerajaan) akan senyapkan.. mungkin bincang ambil jalan pemutus atau saya rasa mereka akan selesaikan begitu sahaja tak berlanjutan sampai tindakan Persona Non Grata diambil oleh pihak Malaysia,” katanya.

Media melaporkan Reezal Merican memanggil Huang ke Wisma Putra selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai campurtangan negara asing ketika melakukan lawatan di Petaling street baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin telah membatalkan arahan memanggil Huang yang telah dibuat oleh Reezal.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berada di New York kerana mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers