Saya sayangkan ayah tapi tidak sanggup jumpa pengganas – Rosnah

Saya sayangkan ayah tapi tidak sanggup jumpa pengganas – Rosnah
Beliau menyokong jika rakyat Sabah tidak mahu menerima kehadiran Nurul Izzah ke negeri itu kerana perbuatannya berjumpa dan bergambar dengan Jacel Kiram.

“Saya sayangkan ayah tetapi saya tidak sanggup berjumpa dengan pengganas,” kata Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang merujuk pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu menegaskan, perbuatan Izzah berjumpa dengan anak pengganas demi membebaskan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ramai rakyat negara tidak dapat melupakan pencerobohan di Lahad Datu yang mengorbankan anggota keselamatan negara dan orang awam.

“Secara peribadi, saya tidak akan melupakan kejadian di Lahad Datu.

“Ramai yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian ini. Keluarga kehilangan pencari nafkah, isteri kehilangan suami dan anak kehilangan bapa. Adakah kejadian ini boleh dilupakan?,” katanya di Lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, ramai rakyat Sabah terkejut dengan isu itu dan mendesak tindakan diambil terhadap Izzah.

“Dia tidak hormat perasaan rakyat Sabah dan jika mereka tidak mahu Izzah datang ke Sabah, saya sokong,” katanya.

Rosnah berkata, ahli politik tidak sepatutnya melakukan perkara itu untuk meraih populariti.
“Ini bukan pertandingan populariti. Politik adalah perjuangan untuk rakyat,” katanya.

Katanya, permohonan maaf Izzah kepada rakyat Sabah sudah terlambat kerana bukan mudah rakyat Sabah melupakan perbuatan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

“Memang mudah meminta maaf dan mengharapkan orang melupakan perbuatannya.

“Dia tahu siapa Jacel Kiram dan peranan ayahnya dalam insiden di Lahad Datu. Izzah sudah dewasa dan tahu akibat daripada perbuatannya itu,” kata bekas Ketua Puteri UMNO itu.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers