Ahmad Idham Kecewa Dengan FINAS, LARI Ke Cannes


Ahmad Idham, Kecewa, Dengan, FINAS, LARI, Ke, Cannes, Festival Filem Cannes, Ahmad Idham, artis malaysia, berita, gambar, berita terkini, hiburan, selebriti
\
Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com

KUALA LUMPUR, 17 MEI 2013: Sebagai seorang produser filem di Malaysia dan berdaftar dibawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham nyata seperti sudah berpatah arang berkerat rotan dengan badan berkanun yang bernaung dibawah kementerian Penerangan Komunikasi dan Kesenian ini.

Bukan sengaja ingin mencetuskan kemarahan atau mempertikaikan fungsi FINAS tetapi padanya sistem yang berjalan didalam badan tersebut harus diperbaharui supaya ia memberi faedah kepada penggiat filem tempatan.

Perkara ini mula dipersoalkan apabila Ahmad Idham tidak mengetahui apa-apa tentang pencalonan filem daripada Malaysia untuk dibawa ke Festival Filem Cannes. Ironinya, 4 calon filem telah dipilih oleh FINAS melalui sebuah jawatankuasa yang diwujudkan dan filem Ahmad Idham tercicir langsung daripada pencalonan awal kerana tidak mendapat apa-apa info mengenai hal ini.

"Saya mendapat tahu sendiri mengenai 4 buah filem yang dihantar FINAS ke filem Cannes Film Festival dan saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini langsung. Bila saya bertanyakan pada mereka (FINAS), katanya ada jawatankuasa yang memilih filem-filem tersebut dan bukannya dari kalangan kakitangan FINAS sendiri.

"Bila saya hubungi lagi satu pihak dan mereka mengatakan 4 filem tersebut telah pun dipilih. Saya pun tidaklah cakap apa-apa tetapi kenapa boleh jadi macam ni? Saya tidaklah mahu mendesak cuma agak kecewa bila berlakunya situasi sebegini.

"Kerana itu saya persoalkan disini, negara kita mempunyai sebuah badan khas untuk memantau segala perkara berkaitan filem hasilan tempatan tetapi selain memohon lesen, apa lagi yang boleh saya harapkan daripada mereka?

"Kalau badan seperti ini di luar negara setahu saya mereka lebih terbuka. Ada sesetengahnya tidak langsung mempunyai badan seperti FINAS tetapi filem mereka masih dapat menembusi pasaran luar.

"Yang terjadi pada saya cuma nasib menyebelahi bila pengedar filem dari luar berminat untuk membawa Lari ke peringkat antarabangsa,"cerita Ahmad Idham dalam nada yang kecewa namun bangga apabila filem terbaik pernah dihasilkannya mendapat tempat di mata penggiat filem daripada luar.

Filem terbaru Ahmad Idham, Lari yang diterbitkan di bawaha syarikat produksinya iaitu Excellent Pictures Sdn Bhd dengan mennggunakan bajet sendiri terpilih ke festival berprestij di Cannes, Perancis. Bukan dibawah pemilihan FINAS, Lari yang ditukarkan kepada nama The Run untuk pasaran luar telah di bawa kesana oleh pengedar filem daripada luar yang ternampak akan trailer filem itu ketika melakukan proses suntingan di Bangkok.

Menelan kos sebanyak RM 2.5 juta, filem aksi yang menampilkan Aaron Aziz sebagai pemain utamanya, Lari telah dipadatkan dengan aksi-aksi pertarungan yang jarang kita lihat dalam filem-filem yang dihasilkan pengarah tempatan.

"Kalau orang di negara sendiri tak dapat nak nilai karya yang saya pertaruhkan, sekurang-kurangnya ada juga orang luar nampak apa yang saya ingin ketengahkan dalam Lari. Ini adalah filem yang paling tinggi menelan belanja dan saya harap perlaburan saya akan memberi pulangan setimpal.

"Tetapi kalau buat filem aksi, lagi banyak bajet yang ada lagi best nak buat filem. Kalau saya dapat peluang tersebut saya ingin tambahkan adegan aksi sebanyak 20 peratus.

"Apa-apa pun, apa yang saya laburkan untuk filem Lari menampakkan hasil yang bagus. Lebih kurang 60 pelagak ngeri yang saya gunakan dan kebanyakkan mereka dibawa daripada Thailand. Saya sudah habiskan hampir RM700 ribu sahaja untuk membayar mereka dan saya sangat berpuas hati.

"Mereka yang saya ambil ini bukan calang-calang orang kerana ada seorang daripada mereka ini merupakan stand in untuk pelakon Tony Ja yang popular dengan Ong Bak dan Tom Yang Goon di Thailand,"cerita Ahmad Idham mengenai Lari yang ditayangkan semalam, Khamis, kepada media, blogger dan jemputan lain di malam tayangan previu filem tersebut di TGV Sunway Pyramid.

Lari dibarisi hero pujaan Aaron Aziz bersama Dira Abu Zahar, Erin Malek, Erry Putra dan menampilkan penyanyi, Hazama Azmi sebagai pemain utamanya. Filem ini bakal berada di pawagam seluruh negara bermula 6 Jun ini.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers