ALHAMDULILLAH!!! Penuntut USAS bersama dua adik lega dapat pulang ke kampung halaman. #PKP #COVID19 #ramadankareem #Ramadhan #RamadanMubarak #PDRM #GERAKMALAYSIA #Malaysia #MKN #KKM


ALHAMDULILLAH!!! Penuntut USAS bersama dua adik lega dapat pulang ke kampung halaman. Seorang penuntut dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menarik nafas lega apabila dia bersama dua adiknya dibawa pulang ke kampung halaman di Teluk Intan selepas terkandas di rumah sewanya, di Taman Chandan Puteri 3, di sini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).




Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar melakukan nyah cemar kepada sebuah bas sebelum 108 pelajar menaiki tujuh bas dan dua buah van untuk pulang ke kampung di luar pekarangan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Bukit Chandan hari ini.


Nur Syafikah Syarina Abdullah, 22, pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan di USAS berkata kedua-dua adiknya Muhammad Danial Iman Abdullah, 11, dan Nurdiana Iman, 10, datang ke rumahnya tiga hari sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas.

"Memang menjadi kebiasaan pada cuti sekolah, saya akan bawa kedua-dua adik datang ke rumah sewa saya untuk bersiar-siar. Pengalaman indah yang sepatutnya dikongsi bersama adik-adik tidak tercapai, sepanjang 44 hari kami di sini.

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana selain saya, adik-adik saya yang masih bersekolah itu turut dibenarkan pulang ke Chenderong Balai, Teluk Intan hari ini. Saya juga bersyukur kerana kebajikan saya dan dua adik saya masih terjaga dengan menerima bantuan makanan yang disalurkan oleh pasukan bertindak universiti setiap hari biarpun tidak menetap di asrama penginapan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini,hari ini.

Tiga beradik itu bersama 108 pelajar dari universiti berkenaan yang dihantar pulang ke kampung halaman hari ini menggunakan tujuh bas dan dua van, dan ia adalah penghantaran pulang pertama bagi penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria turut hadir untuk meninjau proses penghantaran dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan di universiti itu.

Sementara itu, Razman berkata, menerusi data yang dikemukakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), secara keseluruhannya kira-kira 7,545 penuntut IPT di Perak dikenalpasti untuk dihantar pulang setakat ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata kira-kira 530 penuntut universiti itu terkandas sejak PKP dikuatkuasakan dan lebih 300 penuntut akan dihantar pulang bermula esok membabitkan perjalanan rentas negeri seperti yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sejumlah 95 penuntut tidak dihantar pulang antaranya kerana destinasi yang hendak dituju bukan zon hijau, mengalami simptom demam dan memilih untuk tidak pulang kerana khuatir menjejaskan pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian.

Dalam pada itu, proses penghantaran pulang pelajar ke kampung halaman bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak di Tanjung Malim bermula pagi ini membabitkan 136 pelajar.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata pergerakan diatur dari UPSI ke semua daerah zon hijau di seluruh negeri Perak iaitu Bagan Datuk, Hulu Perak, Perak Tengah, Manjung, Kuala Kangsar, Kerian, Batang Padang, Hilir Perak, serta Larut, Matang dan Selama.

"Selain itu, 23 pelajar dibenarkan pulang dengan memandu kereta sendiri secara berseorangan selepas mendapat Surat Sokongan Kebenaran Pergerakan Balik Dengan Kenderaan Sendiri daripada UPSI dan Polis Diraja Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 11 bas milik UPSI digunakan bagi pergerakan itu selepas menjalani proses nyahkuman oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Muallim, Batang Padang, Kampar dan Hilir Perak.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak menerusi Facebook rasminya pula memaklumkan 29 pelajar kampus Tapah pulang ke kampung hari ini melibatkan penghantaran masing-masing menggunakan sebuah bas, van dan kereta yang berlepas pukul 10 pagi.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers