ALHAMDULILLAH!!! Lebih 3,000 pelajar IPT dihantar pulang hari ini - Ismail Sabri. #PKP #COVID19 #ramadankareem #Ramadhan #RamadanMubarak #PDRM #GERAKMALAYSIA #Malaysia #MKN #KKM

ALHAMDULILLAH!!! Lebih 3,000 pelajar IPT dihantar pulang hari ini - Ismail Sabri. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghantar pulang seramai 3,194 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lagi melibatkan pergerakan intra-zon hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

ALHAMDULILLAH!!! Lebih 3,000 pelajar IPT dihantar pulang hari ini - Ismail Sabri. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghantar pulang seramai 3,194 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lagi melibatkan pergerakan intra-zon hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Menurut beliau, pergerakan itu melibatkan empat zon iaitu Zon Timur ke dalam Zon Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Zon Perak ke dalam Zon Perak, Zon Selatan ke dalam Zon Selatan (Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka) dan Zon Sarawak ke dalam Zon Sarawak.

Beliau berkata KPT akan menghantar pulang 1,029 pelajar di Zon Timur, 519 pelajar di sekitar Perak, 1,366 pelajar dalam Zon Selatan ke Zon Selatan dan 280 pelajar dalam Zon Sarawak ke Zon Sarawak.

“Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar terlibat di Ibu Pejabat Polis atau Pejabat Daerah yang telah dikenal pasti.

“Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan dilakukan oleh agensi kerajaan yang terlibat,” katanya pada sidang media harian berkaitan PKP, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pengumuman mengenai kebenaran beroperasi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berserta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Tunggulah pengumuman nanti kerana antaranya dari segi kelonggaran yang akan diberikan adalah syarikat-syarikat kecil, PKS juga," katanya.

Menjawab kegusaran orang ramai mengenai jarak sosial apabila dua individu dibenarkan di dalam satu kenderaan untuk keluar bersama, beliau berkata perkara itu dipertimbangkan setelah mengambil kira graf kes positif COVID-19 yang semakin melandai.

“Bila kita menetapkan seorang dalam satu kenderaan pada peringkat awal, di PKP fasa satu, dua dan tiga, jumlah positif COVID-19 masih terlalu tinggi, dan kita dapat banyak aduan daripada pemandu yang terpaksa bersendirian,” katanya.

Jelasnya, orang ramai juga sentiasa mematuhi SOP yang telah dikeluarkan ketika berada di pasar raya.

Ditanya mengenai syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang telah memulakan penerbangan domestik semalam antaranya ke Miri, Sarawak, Ismail Sabri berkata perkara itu dibenarkan bagi menampung keperluan penumpang memandangkan Malaysia Airlines hanya terbang ke Sabah dan Sarawak seminggu sekali sahaja.

"Bagaimanapun, SOP tetap sama. Sebelum terbang dari mana-mana tempat sekali pun, mereka perlu mendapat kelulusan daripada pihak polis untuk tujuan penerbangan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan makanan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihatkan agar melakukannya melalui pusat operasi yang ditetapkan di setiap PKPD.

Beliau berkata ini bagi memudahkan petugas barisan hadapan menyelaras dan mengagihkan bekalan berkenaan kepada penduduk dalam kawasan terbabit.

“Ia juga supaya dapat dipantau agihan itu berikutan terdapat segelintir penduduk yang telahpun menerima barangan keperluan tanpa pengetahun pusat operasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setakat Selasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 249 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19.

Beliau berkata Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 telah membuat penafian 243 berita palsu sejak mula beroperasi pada 24 Mac lepas.

"Salurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari WWW.SEBENARNYA.MY untuk menyemak kesahihan berita," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata PDRM telah menahan 683 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), merangkumi 598 individu yang direman dan 85 individu dijamin polis.

Mengenai pusat kuarantin, beliau berkata setakat hari ini, sebanyak 232 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 226 pada hari sebelumnya dengan 17,447 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers