Isu Bauksit: Pas Pahang ancam adakan bantahan

Isu Bauksit: Pas Pahang ancam adakan bantahan
Saran kerajaan negeri beri lesen kepada
peneroka selain memantau aktiviti perlombongan.

Pas Pahang memberi amaran akan mengadakan himpunan rakyat sekiranya kerajaan negeri tidak mengadakan pemantauan terhadap aktiviti perlombongan bauksit di negeri itu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, langkah tersebut akan diambil bagi memperbetulkan keadaan yang berlaku pada masa ini.

Menurutnya, masalah yang timbul akibat kurangnya langkah penguatkuasaan dan pemantauan sehingga menyusahkan penduduk di kawasan terlibat.

“Pas Pahang tidak ada masalah sekiranya kerajaan negeri meluluskan lesen kepada peneroka yang melakukan aktiviti itu asalkan ada pemantauan dibuat mengenainya.

“Langkah tersebut harus disusuli dengan penguatkuasaan operasi.

“Masalah yang diperjuangkan sekarang ialah orang ramai terganggu dengan pencemaran alam akibat pengangkutan tiada kawalan bahan logam itu hingga menyebabkan jalan raya menjadi berdebu dan kotor sepanjang jalan Bukit Goh ke pelabuhan selain menjejaskan kesihatan ramai,” katanya yang dipetik daripada laman portal harakahdaily.net.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, peneroka selaku tuan tanah sememangnya berhak memohon lesen untuk melakukan perlombongan itu.

Katanya, selama ini ada juga peneroka yang ditipu oleh pengusaha dan ada juga syarikat yang mengusahakan secara haram tanpa lesen.

“Cuma Pas minta kerajaan mesti melaksanakan prosedur dengan betul kemudian pada masa sama paling penting agensi-agensi berkaitan penguatkuasaan harus melaksanakan undang-undang yang ada.

Dia yang juga Pengerusi Gerakan Bertindak Anti Pencemaran Bauksit (Geram) berkata, akibat kurang penguatkuasaan sering menyebabkan berlaku kemalangan maut melibatkan lori pengangkut bauksit dan ini amat membimbangkan penduduk di kawasan berkenaan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers