Aziz M Osman nekad bersara

Malaysia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Malaysia, Aziz M Osman, nekad, bersara
Aziz M Osman

Aziz M Osman nekad bersara


AZIZ M Osman, bukanlah nama picisan dalam industri tempatan. Malah, ilmu seninya tidak perlu diduga lagi.

Dilahirkan pada 2 Oktober 1962, anak kepada penyanyi era 90-an, M Osman ini mula melibatkan diri dalam dunia lakonan sebelum bergelar pengarah dan penerbit.

Dalam dunia pengarah, Aziz berjaya mencipta fenomena tersendiri melalui beberapa filemnya termasuk, Fenomena, XX Ray, Leftenan Adnan, Puteri Impian, Senario The Movie, Gila-Gila Pengantin dan Trauma.

Malah drama terbitan syarikat produksinya, AceMotion Pictures Sdn Bhd seperti Misi XX Ray, Dunia Anita, Puteri, Fara, Bong, Viceversa dan Kisah Kaisara turut mempunyai peminat tersendiri.

Namun, sejak akhir-akhir ini ramai yang beranggap magis Aziz sudah hilang dan karya ciptaannya tidak lagi berbisa seperti dahulu.

Menerusi satu temu bual eksklusif, Aziz turut berkongsi pandangan dan perkembangan terbarunya di dalam bidang pengarah dan penerbitan.

Apa perkembangan terbaru anda?

Alhamdulillah, saya bersama kru produksi baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri untuk TV3 slot Akasia, Demi Dia. Kini, saya akan kembali fokus pada filem yang bakal menemui penonton tidak lama lagi, Penunggu. Kemungkinan besar, filem itu akan ditayangkan pada awal tahun depan.

Sepanjang drama Demi Dia ditayangkan, bagaimana pula sambutan daripada penonton?

Pada awalnya sambutan memang kurang memberangsangkan, namun kini saya lihat penerimaan semakin baik. Saya akui, memang drama ini kurang memberi kesan kepada penonton kalau nak dibandingkan dengan drama sebelum ini. Mungkin kerana penonton lebih suka dengan drama-drama genre berlainan. Namun, saya puas hati dengan Demi Dia walaupun idea ini datangnya daripada stesen televisyen.

Kiranya, Demi Dia bukanlah naskhah anda sendiri?

Bukan, ia adalah idea daripada stesen televisyen dan saya disarankan untuk menghasilkan kesinambungan kisah cinta Azura setelah berkahwin. Pun begitu, saya tidak menyalahkan stesen televisyen di atas perkara ini. Namun kalau boleh, saya lagi puas jika mengarahkan karya saya sendiri. Bagi pengarah yang sudah lama bertapak dalam industri, mungkin perkara ini menimbulkan rasa janggal dan langkah kami turut terbantut. Apa salahnya jika memberi kebebasan kepada kami kerana kami tidak perlu 'dipimpin' sebegini.

Ramai yang berpendapat, magis anda sudah hilang. Apa komen?

Perkara ini terlalu subjektif untuk diperkatakan. Saya tidak kisah apa yang orang kata kerana bagi saya, generasi penonton telah berubah. Mungkin ini bukan era saya lagi. Selera penonton juga berubah dan saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menyajikan karya yang boleh memenuhi selera penonton. 

Sebenarnya, Demi Dia adalah drama terakhir arahan saya dan saya akan bersara dalam bidang pengarahan. Saya akan menumpukan perhatian pada bidang penerbitan sahaja dan selain itu, saya akan membantu anak sulung saya, Puteri Nur Fatihah, 24, yang baru sahaja menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UITM), dalam bidang Animasi.

Adakah anda merajuk?

Bukan merajuk, cuma saya rasa, saya perlu undur diri dan memberi peluang kepada pengarah-pengarah baru untuk berkarya. Lagipun, saya sedar bahawa penonton sudah berubah dan generasi penonton sekarang tidak berpihak kepada karya saya lagi.

Kenapa tidak cuba untuk tampilkan kelainan?

Bukan saya tidak mahu tampilkan kelainan, namun saya sendiri tidak suka berkarya tanpa jiwa.

Selain itu, saya ada menyuarakan idea saya sendiri, namun stesen televisyen menolak dan alasan tidak mahu menanggung risiko sekiranya karya itu gagal. Saya pula tidak suka menghasilkan karya-karya yang mengangkat unsur kekecewaan yang melampau. Jadi, ia tidak kena dengan jiwa saya. Bukan saya sahaja malah, pengarah lain juga turut merasai perkara yang sama.

Akhir sekali, apa pandangan anda mengenai industri sekarang?

Tidak dinafikan, industri sekarang  berkembang positif dan melahirkan banyak karya hebat.

Namun, saya juga berharap agar pihak stesen televisyen mempercayai kredibiliti pengarah lama dan tidak meletakkan kami setanding dengan pengarah yang baru bertatih. Berikan kebebasan kepada kami berkarya dan tidak salah sekiranya kita mempelbagaikan genre karya. Pun begitu, saya tidak ada masalah dengan stesen televisyen kerana kita semua saling memerlukan.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers