Maduku..Kalut bakal gamatkan IB

Malaysia, Berita, Gossip, Selebriti, Artis Malaysia, Maduku..Kalut, bakal, gamatkan, IB, Istana Budaya
Maduku..Kalut bakal gamatkan IB
Maduku..Kalut bakal gamatkan IB

KISAH suami berpoligami berahsia, barangkali bukan isu baru di kalangan masyarakat hari ni. Bukan untuk memerli mereka-mereka yang hidup bermadu, tetapi teater Maduku...Kalut bakal menggamatkan Istana Budaya (IB), September ini.

Mengangkat kisah kehidupan seorang pemandu teksi, Selamat yang tersepit dengan penipuan yang diciptanya sendiri. Memandangkan dia terpaksa memberikan komitmen terhadap kerjaya yang tidak menentu masa dan rahsia mengenai kehidupan rumah tangganya bersama dua orang isteri.

Apatah lagi, isteri pertama dan kedua tidak mengetahui bahawasanya mereka telah dimadukan. Kekalutan demi kekalutan terus berlaku dan akhirnya rahsia itu terbongkar namun nasib Selamat diibaratkan seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila semua orang tidak mempercayainya lagi.

Naskhah teater itu diadaptasi oleh Mazli Abdul Rahman berdasarkan skrip Run For Your Wife karya Roy Cooney. Pementasan ini diarahkan oleh Muhammad Azhar Zainal selama 90 minit akan berlangsung pada 27 hingga 30 September, jam 8.30 malam.

Teater ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Izzue Islam, Jihan Raja Lawak, Nad Zainal, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nazurah Hanoom.

Izzue teruja

Pelakon dan juga penyanyi, Izzue Islam mengakui amat gementar dan dalam masa yang sama berasa teruja untuk menjayakan pementasan teater ini. Menurut Izzue, pementasan Maduku...Kalut adalah projek pertamanya dalam arena teater.

"Saya sangat teruja. Tidak sabar untuk berlakon teater namun saya berharap semuanya berjalan dengan lancar," katanya yang memegang watak sebagai Selamat Johan, pemandu teksi yang berkahwin dua tanpa pengetahuan isteri pertama, Bibi dan turut merahsiakan perkara itu daripada isteri kedua, Mimi.

Bercerita mengenai wataknya dengan lebih lanjut, Izzue berkata kehidupannya menjadi kalut setelah rahsia kahwin dua terbongkar.

Namun akibat daripada satu insiden, dia berhadapan situasi sukar menyebabkan Selamat terpaksa meminta bantuan jirannya, Adam bagi bersemuka dengan pihak polis, wartawan dan kedua isterinya.

"Kekalutan demi kekalutan terus berlaku menyebabkan rahsia yang diikat kemas selama ini, akhirnya terbongkar jua. Di atas sebab itulah dia membuat pengakuan sebenar, malangnya semua orang tidak mempercayainya," kata Izzue.

Pun begitu, Izzue berkata watak tersebut juga memberikan cabaran buatnya kerana dia perlu menonjolkan pelbagai ekspresi muka setiap masa.

"Mungkin ia agak sukar jika sebelum ini saya lebih banyak bawa watak romantis, tapi dalam teater ini saya perlu mempelbagaikan mimik muka agar sesuai dengan karakter Selamat," katanya.

Jihan lari dari kebiasaan

Siapa yang tidak mengenali Ratu Parodi, Jihan Raja Lawak atau kini mahu dikenali sebagai Jihan Muse. Nama Jihan mungkin kurang dikenali di pentas teater, namun sebenarnya dia pernah terlibat dengan teater-teater indie seperti Lorong Blues yang baru sahaja menamatkan pementasannya beberapa minggu lalu.

"Sebelum ini, saya banyak melibatkan diri di belakang tirai namun tidak pernah berlakon di atas pentas sebesar Istana Budaya. Bila diberikan peluang untuk berlakon teater, saya terus menerima tawaran ini tanpa berfikir panjang," katanya.

Bercerita mengenai wataknya itu, dia memegang watak sebagai isteri pertama iaitu Bibi yang mempunyai perwatakan yang garang, suka memberontak dan bersikap kasar dengan suaminya.

Apatah lagi, setelah mengetahui suaminya berkahwin buat kali kedua tanpa pengetahuannya menyebabkan dia bertambah marah dengan perbuatan Selamat.

"Walaupun hanya membaca skrip sekali imbas kerana terlalu sibuk dengan penggambaran namun saya percaya teater ini akan menarik ramai penonton. Ia mempunyai kekuatannya tersendiri dan jika anda ingin melihat kegarangan saya, saksikan sendiri teater ini," katanya.

Sisi berbeza Nad Zainal

Sementara itu, berbeza pula dengan pelakon Kampung Girl, Nad Zainal yang memiliki pengalaman luas dalam dunia teater berbanding Izzue Islam dan Jihan. Anak kelahiran Kajang, Selangor itu mendapat pendidikan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam Diploma Teater.

Menyingkap sejarah penglibatannya dalam dunia hiburan, Nad memulakan kerjaya sebagai pelakon pelbagai bidang seperti drama, iklan dan teater. Bertitik tolak daripada drama Sunsilk Impian, kerjayanya kian berkembang walaupun memegang watak pembantu dalam drama tersebut di samping pelakon hebat seperti Lydia Ibtisam, Wardina Safiyyah, Juliana Ibrahim dan Awal Ashaari.

Sejak dari itu, Nad menerima pelbagai tawaran berlakon dalam drama antaranya Putera Rayyan, Bukan Bidadari dan Memberku Hawa.

"Kerjaya saya bermula dengan teater namun tidak aktif apabila terlibat secara serius dalam bidang lakonan. Sudah dua tahun saya tidak terlibat dengan pementasan teater kerana kekangan masa.
"Tawaran lakonan yang agak banyak menyebabkan saya terpaksa melupakan dunia teater buat sementara," ujarnya.

Berbalik kepada watak lakonannya dalam teater tersebut, dia menceritakan bahawa watak Mimi sangat berbeza dengan watak yang pernah dibawa sebelum ini.

"Kebanyakan peranan yang saya bawa dalam drama atau filem sebagai gadis yang kasar dan perengus, namun kali ini ia berbeza sedikit. Watak Mimi yang manja, lemah lembut dan sopan santun merupakan percubaan pertama lakonan saya.

"Kali ini, anda akan melihat sisi berbeza saya dan lain dari yang lain," katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers