Naib Canselor UiTM dikecam halang penuntut sertai Bersih 4.0

Naib Canselor UiTM dikecam halang penuntut sertai Bersih 4.0
Penyertaan ke himpunan Bersih 4.0 adalah sah dan
dilindungi di dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Prof Sahol Hamid Abu Bakar dikecam kerana menghalang penuntut universti itu menyertai Bersih 4.0 pada hujung minggu ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin dan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda DAP (DAPSY) Dyana Sofya Mohd Daud dalam kenyataan bersama berkata, penyertaan ke himpunan Bersih 4.0 adalah sah dan dilindungi di dalam artikel 10 Perlembagaan Malaysia yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman.

“Kenyataan Naib Canselor bahawa perhimpunan Bersih 4.0 adalah haram merupakan satu kenyataan yang salah.

“Sebagai seseorang yang bergelar Naib Canselor, beliau tidak seharusnya bertindak melangkaui tafsiran undang-undang terutamanya Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara.

“Kami meminta agar Naib Canselor menghormati Keluhuran Perlembagaan, Rukun Negara yang ketiga,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Alumni UiTM itu menjelaskan, kenyataan Sahol itu amat mengecewakan dan tidak mencerminkan statusnya sebagai seorang terpelajar yang sepatutnya menggalakkan pemikiran kritis dan menghormati kebebasan akademik penuntut UiTM.

Katanya, penuntut universiti bebas untuk memilih berkenaan pendirian politik mereka sendiri dan Naib Canselor sewajarnya tidak menakutkan penuntut lebih-lebih lagi dalam menentukan pemikiran mereka.

“Naib Canselor juga telah gagal untuk berlaku jujur apabila melibatkan penyertaan mahasiswa dalam himpunan aman.

“Faktanya, UiTM sendiri pernah membenarkan para siswa UiTM untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Ogos 2008 bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan membuka kuota pengambilan pelajar sebanyak 10 peratus kepada pelajar bukan Bumiputera.

“Himpunan ini tidak dihalang malah telah digalakkan untuk para siswa menyertainya. Ini menjadi bukti bahawa, menyertai perhimpunan aman adalah tidak salah di sisi undang – undang UiTM,” ujarnya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers