Krisis matawang beri kesan buruk kepada negara – PKR

Krisis matawang beri kesan buruk kepada negara – PKR
PKR cadangkan kerajaan turunkan kadar GST kepada 4%
atau lebih rendah sebagai langkah sementara membendung inflasi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan krisis matawang yang sedang melanda akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada ekonomi negara.

Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen dan Dr Fahmi Ngah dalam kenyataan bersama berkata, berdasarkan analisa ekonomi menggunakan angka-angka kerajaan telah menunjukkan kesimpulan bahawa kejatuhan matawang tidak baik untuk negara.

Katanya, kesimpulan itu berbeza dengan kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang mendakwa nilai Ringgit yang rendah adalah baik untuk eksport dan industri pelancongan negara.

“Nilaian eksport negara tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang bermakna walaupun dengan penyusutan nilai Ringgit. Untuk tempoh separuh pertama 2015, jumlah eksport negara hanyalah RM368 billion, iaitu RM12 billion lebih rendah daripada tempoh yang sama 2014 (RM380 billion).

“Ini berlaku walaupun Ringgit bernilai 11% lebih rendah pada separuh pertama 2015 berbanding separuh pertama 2014. Penemuan ini amat membimbangkan kerana bertentangan dengan tahun sebelumnya.

“Ringgit yang 6% lebih rendah pada separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013 telah menghasilkan pertambahan nilai eksport RM42 billion untuk separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013,” kata mereka.

Mereka berkata, kejatuhan matawang juga telah menjejaskan sektor pelancongan apabila kedatangan pelancong asing tidak memuaskan.

“Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 adalah 609,000 pelancong lebih rendah daripada suku pertama 2014 walaupun Ringgit 10% lebih rendah pada suku pertama 2015 berbanding suku pertama 2014. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 seramai 6.48 juta juga adalah hampir sama dengan suku pertama 2013 seramai 6.45 juta walaupun Ringgit 17% lebih rendah berbanding suku pertama 2013.

Mereka menegaskan, pendapatan negara akan terjejas dengan harga minyak mentah dunia yang dijangkakan susut dalam masa terdekat akibat pertambahan pengeluaran daripada OPEC dan Amerika Syarikat (Shale), penguncupan ekonomi China dan penghapusan sekatan ekonomi kepada Iran.

Kata mereka, negara akan menghadapi keadaan di mana hasil petroleum akan berkurangan dan nilai Ringgit yang rendah pula tidak dapat menjamin pengembangan yang lebih berkesan dalam industri pelancongan dan pertambahan eksport.

“Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai Ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal. Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST.

“Kami ingin mencadangkan kepada Jawatankuasa Khas Ekonomi agar tidak menaikkan kadar faedah sewenang-wenangnya sebagai langkah mudah untuk menangani inflasi yang bakal berlaku kerana ia akan mengekang pengembangan akitiviti ekonomi domestik.

Mereka berkata, PKR mencadangkan langkah yang lebih mudah iaitu menurunkan kadar GST kepada 4% atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan.

“PKR komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal,” kata mereka.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers