KDN dakwa Bersih 4.0 akan cetus huru-hara

KDN dakwa Bersih 4.0 akan cetus huru-hara
Polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggota bagi memastikan
ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan yang akan mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 hujung minggu ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kemungkinan anarki dalam perhimpunan haram berkenaan bertujuan mencetuskan provokasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.

“Tindakan provokasi berkenaan adalah untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram itu sekali gus akan meningkatkan kebencian pada pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata polis akan menggerakkan kira-kira 4,000 anggota bagi memastikan ketenteraman awam serta keselamatan rakyat ketika perhimpunan haram berkenaan.

Katanya perhimpunan berkenaan yang turut diadakan di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur selain Kuching dan Kota Kinabalu membabitkan kos tinggi berjuta ringgit terhadap kerajaan berikutan ia perlu menggerakkan sejumlah besar anggota polis serta kelengkapan semata-mata untuk mengawasi peserta perhimpunan berkenaan.

Nur Jazlan berkata lebih menyedihkan apabila peserta Bersih 4 itu sebenarnya diperalatkan oleh pembangkang yang menjadikan mereka sebagai alat politik untuk menumbangkan kerajaan.

“Saya melihat persamaan dengan perhimpunan Bersih tahun 2012, di mana pemimpin Bersih ketika itu dengan penyertaan parti politik pembangkang sudah merosakkan matlamat untuk berhimpun secara aman apabila tercetusnya kekacauan.

“Sebenarnya apa yang diperkata penganjur perhimpunan berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang,” katanya.

Beliau berkata rakyat boleh membuat pilihan mengenai kerajaan pilihan mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya motif berhimpun secara haram itu dengan cuba mengambil semangat menyambut Hari Kebangsaan 2015 adalah demi kepentingan segelintir pihak yang jelas mengenepikan hak majoriti rakyat Malaysia yang hidup aman dan tenteram.

“Saya benar-benar berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram Bersih 4 ini kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi disebabkan kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru-hara.

“Atas sebab itu, pihak polis tidak bersetuju dengan kaedah demonstrasi kali ini kerana tiada sesiapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila menanggung kecederaan dan berlaku kerosakan harta benda,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers