Sudah lali, beraya di konti

Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Sudah, lali, beraya, di, konti
Zul dan Rina

Sudah lali, beraya di konti


HARI raya pasti tidak lengkap tanpa pulang ke kampung halaman serta meraikannya bersama sanak saudara.

Pun begitu, adakala kerana komitmen terhadap pekerjaan, ada di antara kita yang terpaksa menyambutnya sendirian sama ada di kota mahupun di luar negara.

Tidak terkecuali bagi dua penyampai Bernama Radio 24 ini, meskipun sudah lali bertugas pada hari lebaran tanpa keluarga di sisi, namun bagi mereka ia bukan satu bebanan.

Sebaliknya, pemilik nama Wan Syarina dan Zulkifli Bujang ini berkata, ia satu pengorbanan yang tidak terhingga baik kepada bidang yang diceburi mahupun rakan seperjuangan mereka.

Beralah dengan teman-teman

Bukan sekali atau dua kali, tetapi bagi wanita yang lebih mesra disapa Rina ini, dia sebenarnya sudah terbiasa beraya di konti.

Jelasnya, meskipun perasaan rindu terhadap keluarga dan desa menggamit hati, namun demi tanggungjawabnya terhadap tugas penyampai radio, dia perlu kuatkan hati.

Akuinya, sejak menceburi bidang ini 10 tahun lalu, semua itu sudah sebati dalam diri.

"Sebelum saya bersama Bernama Radio pun saya sering beraya di konti, lagipun bukan apa, saya masih belum berkahwin, jadi saya utamakan rakan-rakan yang ada keluarga terlebih dahulu.

"Jadi bila bertugas di sini, saya tetap melakukan perkara yang sama, bila ada yang hendak bercuti di hari raya, saya pasti beralah dengan mereka," katanya yang pulang beraya di Kuantan tahun ini.

Bercerita pengalaman beraya di konti katanya, pernah sekali apabila dia mendengar lagu Sepasang Kurung Biru yang ke udara, dia berasa begitu sebak.

"Ketika itu, tiba-tiba sahaja saya menyandar di belakang pintu dan mengalirkan air mata, saya tidak tahu mengapa namun lirik lagu tersebut benar-benar menyentuh jiwa," ujarnya yang baru sahaja kehilangan ayah tercinta tahun lalu.

Berkongsi mengenai perkara itu, katanya, ia adalah pengalaman raya yang tidak mampu dikikis dari fikiran sampai bila-bila.

"Saya masih ingat waktu itu, arwah ayah telah terlantar di hospital selama tiga bulan kerana masalah kesihatan yang dihadapi.

"Kebetulan pula tahun lalu saya perlu bertugas sehingga raya ketiga. Bagaimanapun, ketika pulang ke kampung, hanya beberapa hari sahaja ayah telah menghembuskan nafas terakhir," kata anak bongsu dalam keluarganya ini.

Dalam pada itu, tahun ini Rina juga tidak lupa menyediakan duit raya untuk anak buahnya.

Katanya, itu perkara wajib yang dilakukan setiap tahun.

"Memang seronok bila lihat mereka terima duit raya, lagipun anak buah saya hanya ada tujuh orang sahaja, jadi perlulah berkorban sedikit," katanya tidak sempurna hari raya tanpa hidangan nasi dagang setiap kali meraikan Aidilfitri.

Pertama kali beraya dengan isteri, anak

Berlainan dengan Rina, pengalaman raya tahun ini pastinya menjadi detik paling indah buat diri Zulkifli.

Katanya, selepas mendirikan rumah tangga September tahun lalu, dia telah menerima berita gembira bahawa isterinya berbadan dua.

"Jadi tahun ini, bukan sahaja meraikan Syawal buat kali pertama dengan isteri, malah dengan anak pertama kami," katanya teruja.

Tambahnya, persiapan tahun ini juga sangat berbeza dengan tahun sebelumnya.

"Dahulu masa beraya sendiri, memang saya tidak pernah terfikir nak beli baju macam mana, warna apa dan sebagainya.

"Tetapi bila dah beristeri ni, semuanya berubah, bahkan saya dan isteri memilih baju raya sedondon," ujarnya yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam bidang penyampai radio.

Dalam pada itu, tahun ini juga, Zulkifli telah pulang ke kampung tiga hari lebih awal.

"Kalau sebelum ni beraya di konti pun saya tak kisah, tetapi tahun ni, saya perlu bercuti lebih awal untuk isteri dan anak," katanya tidak penah melupakan pengalaman beraya di konti.

Berkongsi mengenai peristiwa itu, katanya, seperti biasa, mereka akan memainkan lagu raya dan cipta suasana hari raya di konti.

"Saya dan rakan-rakan biasanya akan cuba memeriahkan konti seperti beraya di rumah.

"Bukan apa, takdelah rasa sangat berjauhan dengan keluarga, cuma bila kawan-kawan tak bawa makanan, barulah saya sedih," katanya sambil ketawa.

Tambahnya, setiap tahun apabila raya bakal menjelma, pasti dia akan menghubungi keluarganya dan memberitahu mereka bahawa dia tidak dapat pulang beraya.

"Sebenarnya jadual tak keluar pun lagi, tapi sebab tak nak mereka berharap, saya telefon mak dan cakap yang saya tak dapat cuti," jelasnya memilih  juadah raya Ketupat dan Lontong.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers