Ning Baizura bersama suami dan anak tercinta. |
Ning Baizura beraya di UK!
Kurang seminggu lagi, seluruh umat Islam di negara kita bakal menyambut kedatangan Syawal yang penuh bermakna.
Di saat ini, mungkin kebanyakan daripada kita telah menyediakan segala kelengkapan dan persiapan untuk menyambut lembaran Aidilfitri.
Tidak ketinggalan juga yang mengambil peluang ini untuk pulang lebih awal ke kampung halaman bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Namun, bagi penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, mereka sekeluarga memilih untuk beraya di negara kelahiran suaminya, Bermingham, United Kingdom.
Alah bisa tegal biasa, tahun ini merupakan tahun ketiga Ning atau nama sebenarnya, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 38, beraya di sana.
Pun begitu, Aidilfitri tahun ini dijangkakan lebih meriah dengan kehadiran putera kesayangannya, Ryan Sky Dalton, tujuh bulan.
Ketika artikel ini ditulis, Ning dan keluarganya sudah berada di Birmingham. Mereka berangkat ke sana pada 25 Julai lalu.
Menurut Ning, raya ini merupakan kali pertama dia membawa pulang Ryan untuk dipertemukan kepada keluarga suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton.
"Alhamdulillah, dua tahun sebelum ini, kami pulang tanpa Ryan. Tahun ini, seluruh keluarga Omar menantikan kedatangan Ryan sebagai orang baru dalam keluarga mereka.
"Saya rasa, tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya kerana bilangan ahli keluarga semakin bertambah.
"Selain saya, suami dan Ryan, saya juga membawa ibu, Satilah Abdullah, setiap kali beraya di sana. Kami akan berada di sana selama 15 hari bermula 26 Julai," katanya.
Ning dan Omar mendirikan rumah tangga pada 31 Januari 2008 dan mereka dikurniakan seorang putera, Ryan Sky Dalton, pada tarikh ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.
Peluang bertemu anak tiri
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, mengapa Ning memilih untuk beraya di luar negara sedangkan Aidilfitri di negara sendiri lebih bermakna.
Jelas Ning, dia tidak berniat untuk mengelak daripada menjalani ibadah puasa dan Hari Raya Aidilfitri di negara sendiri.
Namun, ia merupakan satu pengorbanan Ning buat suami untuk mendapatkan sedikit ruang bersama anak-anak dan keluarga.
"Di sana, bulan Julai, Ogos dan September merupakan musim panas. Tambahan pula, ia adalah musim cuti persekolahan anak-anak tiri, Siban, 11, dan Aife, 10.
"Kami akan menjemput anak-anak yang tinggal bersama ibunya di Ireland dan berkumpul di rumah ibu mertua.
"Selain dapat beraya bersama, inilah masanya untuk kami melepaskan rindu pada anak-anak. Siban dan Aife tidak sabar untuk melihat Ryan kerana mereka memang teringin untuk memiliki saudara lelaki," katanya yang menggunakan Skype sebagai medium penghubung dengan keluarga Omar.
Lemang, ketupat di UK
Sudah biasa dengan budaya di negara orang, akui Ning tidak banyak perbezaannya antara beraya di Malaysia mahupun di Birmingham.
Menurutnya, seperti di Malaysia, dia juga boleh mendapatkan makanan di musim perayaan seperti ketupat, lemang, rendang dan serunding di sana.
"Sejak saya mula beraya di UK, saya sudah mengenali orang di kedutaan. Malah, setiap kali raya, mereka akan menjemput saya ke rumah mereka untuk sama-sama merasai hidangan istimewa.
"Saya juga dapat merasai pelbagai makanan di sana, sama seperti di Malaysia. Selain itu, suasana beraya di sana juga meriah kerana masih ramai orang Malaysia seperti pelajar dan pekerja yang tidak balik ke kampung halaman.
"Selalunya, pada pagi raya, kami akan menggunakan tren untuk menziarahi sanak saudara di London dan mengambil masa hampir dua jam untuk sampai," katanya yang mengakui keluarga suaminya turut menggemari makanan Melayu termasuk ketupat
dan lemang.
Omar rajin berpuasa
Bertanya mengenai pengalaman puasa bersama suami, Ning memberitahu, tahun ini merupakan tahun keenam Omar berpuasa.
Menurut Ning, walaupun Omar merupakan saudara baru, namun dia sangat rajin dan bersemangat mengerjakan ibadah puasa dan solat.
"Setahun sebelum kami berkahwin. Omar sudah mula berpuasa. Jadi, sekarang tiada masalah lagi untuk dia berpuasa penuh.
"Walaupun dia tidak bersahur dengan makanan berat, namun dia dapat menahan lapar dan dahaga. Hampir setiap hari, dia akan bersenam dan joging untuk mengekalkan kecergasan.
"Ketika berbuka pula, dia memang tidak banyak karenah dan makan apa sahaja yang saya sediakan. Walaupun saya memiliki pembantu rumah, namun saya sendiri yang sediakan makanan.
"Selain itu, dia sering bersembahyang Jumaat bersama rakan-rakannya. Bagi saya, walaupun dia orang baru, namun saya bangga dengan semangat dan kerajinannya," katanya yang mengakui Omar turut menggemari hidangan ayam kurma.
Senang jaga Ryan
Seperti bapanya, Ning mengakui, Ryan juga merupakan bayi yang sangat senang dijaga dan tidak banyak karenah.
Jelas Ning, sepanjang membesarkan Ryan, dia dan Omar sama-sama menguruskan bayi mereka tanpa mengharapkan pembantu.
"Ryan memang senang dijaga. Bila perut dia kenyang, dia akan tidur dan bermain seperti biasa. Sejak usianya lima bulan, saya sudah biasakannya dengan makanan tambahan seperti buah-buahan, sayur-sayuran yang distim dan di campur dengan
vitamin.
"Kalau saya dan suami kerja, ibu yang akan jaga Ryan. Walaupun saya ada pembantu, namun tugas pembantu hanyalah mengemas rumah kerana saya tidak mempercayai orang luar untuk menjaga anak saya.
"Saya menyusukan Ryan sehingga empat bulan sahaja kerana tuntutan kerja. Alhamdulillah, dia boleh menerima susu formula. Saya juga menguruskan Ryan berpandukan jadual rutin hariannya. Jadual itu saya tampal di dinding dan ibu akan menguruskan Ryan berpandukan rutin hariannya.
"Bukan sahaja ibu, malah suami juga sering membantu menguruskan Ryan. Dia sangat rajin dan kini tugas memandikan anak dan menukar lampin sudah menjadi kebiasaan," katanya yang turut memberikan didikan sempurna untuk putera kesayangannya itu.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.