Ryan Reynolds dalam 'Hantu buru hantu'

Entertainment, News, Gossip, Celebrities, Hollywood, Ryan Reynolds, dalam, Hantu buru hantu, Rest In Peace Department, R.I.P.D
Ryan Reynolds dalam 'Hantu buru hantu' Rest In Peace Department, R.I.P.D 

Ryan Reynolds dalam 'Hantu buru hantu'


SEJAK kebelakangan ini, adaptasi dari novel atau komik semakin menjadi pilihan penerbit untuk di bawa ke layar perak. Apatah lagi, sambutan hangat yang diterima terhadap filem-filem yang diadaptasi dari novel/buku/komik ke layar perak ini membuatkan ia bagai satu fenomena.

Justeru, selepas melihat dan merasakan buku komik “Rest In Peace Department” yang ditulis oleh Peter M. Lenkov boleh menjadi satu fenomena, Universal Pictures dengan kerjasama pengarah, Robert Schwentke menghasilkan sebuah filem R.I.P.D iaitu singkatan kepada Rest In Peace Department.

Meletakkan pelakon hebat seperti Ryan Reynolds dan Jeff Bridges, filem yang hampir menelan belanja RM1 juta ini mengisahkan kematian polis detektif muda Nick Walker yang
dibunuh dan diberi peluang kedua untuk hidup dan membantu R.I.P.D menangkap roh makhluk-makhluk jahat yang bersembunyi di kalangan manusia selama seratus tahun
ataupun menerima hukuman di akhirat di mana takdirnya adalah tidak tentu.

Bersama syerif R.I.P.D veteran Pulsifer, mereka berdua mendedahkan satu plot kiamat di mana terowong ke akhirat akan dibuka dan makhluk roh jahat akan melimpah ke alam
manusia sekiranya keseimbangan kosmik tidak dipulihkan.

Taruhan Ryan Reynolds

Bagi menarik minat penonton untuk mengikuti filem ini, Universal Pictures meletakkan Ryan Reynolds sebagai taruhan utama yang tentunya bakal menarik perhatian bukan sahaja gadis bahkan peminat-peminat setianya.

Apatah lagi, bintang Reynolds yang semakin menyerlah sejak akhir-akhir ini membuatkan dia semakin mendapat perhatian ramai. Jika tahun lalu dia muncul menerusi filem bersama seekor patung beruang yang pandai bercakap, iaitu Ted, kali ini Reynolds memegang peranan sebagai Nick Walker, yang memerlukannya menjadi detektif yang terbunuh dan hidup semula.

Berkongsi pembabitannya dalam filem ini, akui Reynolds, dia gembira filem itu ditayangkan. “Tiga filem saya sebelum ini adalah filem komedi dan dua darinya adalah animasi. Jadi, kehadiran filem ini mengubat kerinduan penonton yang mahu lihat saya beraksi,” katanya.

Tambahnya, meskipun sinonim dengan watak sebegini, namun menjadi Walker amat berbeza. “Menjadi detektif yang mati dan hidup semula tidak pernah dibayangkan, pun begitu, ia seronok kerana filem ini turut menyelitkan adegan komedi,” katanya.

Plot terumbang ambing

Jika melihat pada sinopsisnya, R.I.P.D sememangnya sebuah filem yang menarik untuk ditonton. Biarpun subjek zombi dan dunia fantasi barangkali sudah biasa dilihat, namun jalan ceritanya yang berkisarkan kehidupan manusia selepas kematian agak menarik untuk ditonton.

Namun entah di mana silapnya, filem yang mengangkat subjek komedi dan aksi ini agak kurang menarik. Sama ada kerana tidak meletakkan sebuah bajet yang besar atau garapan Schwentke yang kurang menarik, penulis kurang pasti.

Bagaimanapun, banyak kekurangan dapat dilihat terutamanya perjalanan plot yang dipenuhi banyak tanda tanya iaitu bagaimana Walker dan rakan setugasnya Hayes menemui emas tersebut dan apa nama emas itu yang sebenarnya jadi laluan untuk roh kembali ke dunia manusia.

Meskipun ada beberapa babak komedi agak menarik, namun durasi 1 jam 30 minit terasa lama. Namun lakonan Reynolds dan Bridges, banyak menyelamatkan filem ini, apatah lagi apabila mereka dilihat orang lain oleh manusia yang hidup.

Ala-ala Ghostbuster

Secara keseluruhannya, apa yang penulis dapat simpulkan, filem ini tidak banyak bezanya dengan filem Ghostbuster. Iaitu pemburuan terhadap hantu-hantu yang berkeliaran. Hanya bezanya kali ini adalah hantu yang menjadi polis memburu hantu yang hidup dan menyamar sebagai manusia.

Mungkin juga lebih tepat lagi, mereka adalah zombi yang hidup bertopengkan manusia dan menjalani kehidupan yang biasa. Bagaimanapun, sekiranya cerita ini digarap lebih menarik lagi, dengan perjalanan plot yang lebih kemas, tidak mustahil R.I.P.D boleh menjadi antara filem box office tahun ini.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers