Kanak-kanak setahun maut jatuh sungai

TAWAU: Gara-gara ditinggalkan bersendirian di bilik air, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Tawau di Kampung Titingan, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, Andi Masrudi yang dijaga abangnya berusia lapan tahun dipercayai terjatuh dan lemas kerana rumah yang mereka diami terletak berhampiran tebing sungai.

Menurut jiran, Mardiah Sabri, 41, ketika kejadian, dia baru pulang dari bandar dan terdengar jeritan beberapa jiran lain mengatakan seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai.

“Ibu bapa mangsa keluar bekerja dan meninggalkan dua anak lelaki dalam rumah berkenaan.

Kanak-kanak setahun maut jatuh sungai


“Ketika kejadian, mangsa ditinggalkan bersendirian di bilik air dan abangnya mengambil tuala dalam rumah sebelum memandikan kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, Mardiah berkata, sekembalinya daripada mengambil tuala, abangnya mendapati Andi tiada di bilik air.

“Kanak-kanak berkenaan mengesyaki mangsa keluar dari bilik air dan terjatuh ke dalam sungai kerana rumah mereka berhampiran sungai.

“Kerana terlalu panik, kanak-kanak terbabit memaklumkan jiran sebelum kejadian ini dilaporkan kepada pihak bomba dan penyelamat,” katanya yang membuat laporan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Rudy Fredzek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.35 malam dan mengarahkan sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi terbabit.

“Operasi mencari mangsa bermula kira-kira jam 8.40 malam, namun mayatnya ditemui orang ramai jam 11 malam,” katanya ketika ditemui, semalam.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers