Anak pendayung kunjungi ibu negara

BERSEMPENA sesi persekolahan 2013 yang bermula beberapa minggu lagi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) membantu golongan sasar melalui program Jom Ke Sekolah Bersama Anak Pendayung.

Pada tahun ini, program berkenaan terus dianjurkan buat kali ketujuh bersama 18 anak pendayung, termasuk dua kanak-kanak kurang upaya (OKU) berumur enam hingga 16 tahun.

Berbanding hanya membawa anak pendayung Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan di Kuala Selangor ke kedai sekitar daerah berkenaan untuk membeli keperluan sekolah pada tahun sebelumnya, pengisian program pada tahun ini lebih padat dan menarik.

Anak pendayung kunjungi ibu negara


Mereka bukan saja berpeluang membeli keperluan persekolahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malah dibawa melawat Pusat Sains Negara.


Menurut Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Adelina Iskandar, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban kewangan pendayung dan merapatkan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara TNB dengan pendayung dan anak.


“Kami berharap keselesaan dimiliki anak-anak ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran,” kata Adelina.

Sebanyak RM300 diperuntukkan untuk setiap anak pendayung bagi membeli dua pasang pakaian seragam sekolah, kasut dan stokin, tudung serta beg sekolah, tidak termasuk duit poket RM50 seorang.


Ketua Pendayung pusat pelancongan itu, Shahrill Adlan Ahmad, berkata sumbangan itu sungguh bermakna buat mereka, apatah lagi TNB menaja keperluan sekolah berkenaan selama tujuh tahun berturut-turut.

Katanya, bagi penduduk Kampung Kuantan yang bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan sebagai pendayung, pemberian itu sungguh bermakna, terutama buat ibu bapa yang mempunyai ramai anak di bangku sekolah.


“Saya mewakili pendayung di Kampung Kuantan bersyukur dan berterima kasih kepada TNB kerana meneruskan kesinambungan program mereka sejak 2006. Ia membantu mengurangkan beban kami sebagai ibu bapa untuk perbelanjaan anak memulakan sesi persekolahan setiap tahun,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers