534,500 pesara terbela

KUALA KANGSAR: Kualiti hidup dan kebajikan lebih 300,000 veteran tentera berpencen dan 234,500 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara terus terbela apabila Perdana Menteri mengumumkan tujuh inisiatif istimewa menerusi Program Strategi Lautan Biru Negara ke-7 (NBOS7) di sini, semalam.

Datuk Seri Najib Razak berkata, tujuh inisiatif berkenaan antara lain bertujuan memastikan veteran tentera hidup sejahtera, terutama daripada segi taraf hidup, sosio-ekonomi dan kebajikan.

Beliau berkata, ia sekali gus memperlihatkan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan membantu veteran tentera menjalani kehidupan lebih baik selepas menamatkan perkhidmatan.

534,500 pesara terbela


“Antara tujuh inisiatif berkenaan ialah membaik pulih rumah veteran 1Malaysia; penubuhan Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia; Program Penempatan Kerja Untuk Veteran 1Malaysia; Bantuan Keusahawanan; Meningkatkan Penerimaan Latihan Perhebat oleh Industri; Program Keluarga Veteran 1Malaysia dan Kad ‘Priviledge’ Veteran 1Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Serentak majlis pelancaran itu, Najib turut mengumumkan beberapa khabar gembira buat veteran tentera. Antaranya sebanyak 49 kediaman menerusi inisiatif baik pulih rumah akan dibina menjelang akhir tahun ini, manakala 100 rumah lagi disasarkan tahun depan.

Selain itu, sebanyak 4,300 peluang pekerjaan disenaraikan kepada veteran tentera oleh beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, termasuk Boustead Holdings Bhd dan Sime Darby Bhd.


Antara khabar gembira lain ialah pemberian dana berjumlah RM3.5 juta yang diperuntukkan kepada veteran tentera yang berminat menceburi bidang perniagaan.

Najib berkata, sebanyak 33 kem tentera di seluruh negara sudi bekerjasama menawarkan pusat sehenti kepada veteran tentera 1Malaysia.


Menurutnya, kerajaan tidak pernah meminggirkan setiap peringkat masyarakat di negara ini, malah akan mengotakan setiap janji diberikan.


“Bila kita kata, kita buat... kerana setiap janji perlu ditepati,” katanya.


Katanya, dalam pembentangan Bajet 2012, kerajaan turut mengumumkan pemberian wang ‘one-off’ sebanyak RM1,000 kepada setiap veteran tentera tidak berpencen.


Najib berkata, seramai 243,500 veteran tentera tidak berpencen akan menerima bantuan itu membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM243.5 juta.


Program pelancaran 1MVRP di sini semalam dihadiri puluhan ribu pengunjung. Pengunjung turut dihiburkan dengan pertunjukan udara aerobatik Pesawat Krisakti, persembahan anjing perang, kawad senyap dan pameran tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Pengunjung turut dihiburkan dengan Konsert Karnival 1Mindef yang akan disertai beberapa artis terkenal tanah air, termasuk Jamal Abdillah dan Ana Rafali bermula jam 8 malam.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers