Jadi petani jutawan

PEMBABITAN generasi muda dalam bidang pertanian iaitu sebagai petani moden perlu disemarakkan selaras dengan usaha memastikan jaminan bekalan makanan dalam negara dapat dikekalkan.

Mungkin generasi muda tidak sedar, pembabitan mereka dalam bidang itu mampu memberikan pulangan lumayan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan. Hakikatnya, jika ia dilaksanakan secara terancang, terperinci, menggunakan teknologi dan inovasi terkini, tidak mustahil mereka boleh menjadi jutawan hanya kerana berbudi kepada tanah.

Bagi tujuan itu juga, mereka tidak perlu lagi mengotorkan tangan memandangkan banyak teknologi terkini boleh digunakan, termasuk kaedah fertigasi yang terbukti mampu menjana laba kepada usahawan.

Jadi petani jutawan


Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata, generasi muda perlu mengambil peluang ini dengan berkecimpung dalam bidang pertanian, sekali gus membantu negara memastikan jaminan bekalan pada masa depan. “Jika mereka tidak didedahkan dengan bidang pertanian mulai sekarang, perkembangan sektor pertanian akan terbantut dan negara mungkin berdepan masalah jaminan bekalan makanan sehingga berlaku krisis makanan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, siswazah dalam jurusan pertanian di negara ini hanya sejumlah 7,581 iaitu sekitar 1.4 peratus berbanding 546,987 enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sekali gus menunjukkan belum mencukupi untuk menguasai bidang pertanian.

“Sebab itu, kita kena lipat gandakan usaha bagi memastikan lebih ramai belia terbabit dalam bidang pertanian, bukan saja daripada jurusan pertanian tetapi kursus lain kerana bidang pertanian tidak memerlukan kelayakan tertentu dan sesiapa saja boleh menyertainya. “Malah, kita turut melantik Rosyam Noor sebagai Ikon Pertanian bagi tujuan itu kerana kita tahu golongan ini mudah tertarik untuk melakukan perkara sama yang dilakukan selebriti atau personaliti kegemaran mereka,” katanya.

Menyedari hakikat itu juga, MOA dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara pada hari ini, bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin pelajar IPT mengenai jaminan makanan negara dan Dasar Agromakanan Negara (DAN). Konvensyen sehari itu akan diisi dengan pelbagai acara, termasuk pembentangan kertas kerja oleh Profesor Dr Mohd Razi Ismail dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) Mardi, Datuk Dr Sharif Haron serta lawatan ke tapak pameran.

Malah, sesi perbincangan mengenai dasar berkenaan turut diperbincangkan membabitkan beberapa panel, termasuk Pengarah Pertanian Unit Perancang Ekonomi (EPU), Hassan Ismail; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman; Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan UPM, Prof Dr Fatimah Mohamed Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan) Padiberas Nasional (Bernas), Ahmad Tarmizi Mohamed Hariri. Lebih penting, Mohd Hashim berkata, konvensyen itu bertujuan memperkukuhkan kefahaman graduan mengenai dasar jaminan bekalan makanan seperti termaktub dalam DAN 2011-2020 yang memerlukan guna tenaga profesional dan mahir bagi pembangunan negara, khususnya melalui Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“Penganjuran konvensyen ini adalah platform penting bagi menarik minat golongan mahasiswa mengenai peluang untuk menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya pilihan, kementerian juga ingin melihat idea baru disarankan pemimpin pelajar bagi menambah baik Pelan Tindakan Dasar Agromakanan 2011-2020. “Saya berpendapat pemimpin pelajar perlu memahami dengan jelas semua dasar dilaksanakan kerajaan, terutama berkaitan keperluan makanan dan kepentingannya untuk mengeluarkan sumber makanan mencukupi,” katanya.

Menurutnya, beberapa resolusi dijangka dapat dicapai dalam konvensyen itu dan ia akan diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bagi tindakan lanjut. Selain itu, katanya usaha menarik minat golongan muda dalam bidang pertanian juga perlu dilakukan dengan menyediakan pakej menarik serta pelbagai kemudahan supaya mereka dapat buktikan sendiri bidang ini sebenarnya menguntungkan.

“Apabila ada pakej menarik, kita beri kemudahan cukup, saya percaya lebih ramai generasi Y yang berminat menceburi bidang pertanian, apatah lagi apabila ia mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. “Pada masa sama, mereka perlu diberi peluang dan ruang seluasnya melalui program promosi dan latihan untuk menimbulkan minat menyertai bidang ini,” katanya.

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers