Nam Ron - Psiko Pencuri Hati Bukan Filem Klise

Malaysia, Berita, Gossip, Gosip, Hiburan, Selebriti, Artis Malaysia, Nam Ron, Psiko Pencuri Hati, Bukan, Filem, Klise
Nam Ron - Psiko Pencuri Hati

Nam Ron - Psiko Pencuri Hati Bukan Filem Klise


KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2013: Mendengar nama tajuk filem Psiko Pencuri Hati, ia secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai apa sebenarnya genre filem mainstream pertama arahan Nam Ron yang bakal menemui penonton di pawagam pada 5 September depan.

Ilham daripada seorang pelakon berkarektor terkenal serta mempunyai latarbelakang yang kuat dalam bidang pengarahan menuntut Nam Ron memberikan penekanan pada aspek kualiti terutamanya mutu lakonan, sinematografi serta jalan cerita Psiko Pencuri Hati yang dijanjikan tidak klise.

Tambah Nam Ron yang juga seorang penggiat teater tempatan, elemen yang dititikberatkan olehnya itu adalah untuk menjaga production value atau mutu penghasilan karya terbarunya yang telah menjalani penggambaran di Kuala Lumpur serta Pulau Pemanggil, Johor itu.

"Jika melihat daripada sudut pengkarya filem, Psiko Pencuri Hati adalah sebuah nukilan istimewa yang berlatarbelakangkan jalan cerita menarik serta tidak klise. Maksud saya tidak klise bukan sahaja bererti mahu tampil berbeza daripada filem-filem sedia ada, sebaliknya ia juga tertumpu pada aspek lain.

"Seperti kekuatan jalan cerita yang jarang diketengahkan, saya mengambil peluang ini untuk berkongsi dengan umum apa yang saya rasa mengenai garapan dan pengkisahan sebuah cerita yang mempunyai makna tersendiri dalam hidup saya.

"Pada masa yang sama, filem ini mahu mencuba pasaran dan memberikan variasi kepada dunia perfileman tempatan yang kini semakin kurang dari segi kepelbagaian genre. Melihat kepada gaya penonton kini, mereka lebih suka menonton filem berdasarkan genre yang diminati dan jarang untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Kerana itu saya cuba menjaga kualiti semampu boleh untuk menarik mereka datang ke panggung," cerita Nam Ron mengenai strategi serta keterujaannya untuk berkongsi naskhah miliknya itu di layar perak.

Dalam masa yang tinggal kurang daripada sebulan sebelum tayangan Psiko Pencuri Hati di seluruh negara, filem ini seperti kurang dari segi promosi. Di awal minggu ini hashtag #psikopencurihati mula kelihatan di laman sosial Twitter setelah para pelakon dan pengarah sendiri telah memuatnaik status tentang filem ini.

Tetapi bila melihat kepada Facebook Psiko Pencuri Hati ia sebenarnya telah lama diaktifkan. Malah berita seperti kejayaan filem ini mendapat perhatian pembikin dan pengusaha filem antarabangsa seperti di Hong Kong malah telah ke Cannes terdapat di laman itu. Nam Ron menjawab perkara ini atas kapasitinya sebagai seorang pengarah.

"Filem ini telah menjalani penggambaran pada tahun lalu dan selepas semuanya siap memang pihak penerbit, FilmMecca telah mengaktifkan Facebook untuk salah satu langkah mempromosikan Psiko Pencuri Hati. Tetapi setelah mendapat tarikh tayangan, kami memutuskan untuk kembali aktif apabila menjelangnya tarikh tayangan filem ini di pawagam.

"Memang benar ada orang luar yang buka mata dan tidak kurang yang berminat dengan filem ini. Tetapi kami tidak terlalu mahu menguar-uarkan kerana tarikh tayangan yang masih jauh. Ini merupakan salah satu langkah strategi kami bila mana hampir tiba tarikh tayangan barulah kita bercakap mengenainya.

"Sebagai produksi baru dengan filem pertama, fokus bajet dilebihkan untuk melancarkan perjalanan sepanjang penggambaran. Peruntukkan untuk promosi masih ada cuma tidaklah terlalu besar. Antara langkah lain kami memanfaatkan media sosial untuk turut sama mempromosikan filem ini.

"Diharapkan umum memahami situasi kami dan terus menyokong serta boleh mendapatkan sebarang info dan berita mengenai Psiko Pencuri Hati di laman Facebook rasmi filem ini,"bicara Nam Ron yang dilihat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan produksi filem pertama arahannya yang ditayangkan di layar perak itu.

Filem yang dibintangi oleh Bront Palarae, Syed Hussein, Sharifah Amani, Amerul Affendi, Shera Aiyob, Julia Ziegler, Yusmal Ghazali dan Suhaimi Yusof ini bergenre seram psikologi dan telah diklasifikasikan 18. Jom kita lihat trailer yang telah dihasilkan untuk Psiko Pencuri Hati di sini


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers