KENA TELITI!!! Prosedur ketat ‘sambut’ kepulangan orang ramai di KLIA yang sepi. #PKP #COVID19 #ramadankareem #Ramadhan #RamadanMubarak #PDRM #GERAKMALAYSIA #Malaysia #MKN #KKM

KENA TELITI!!! Prosedur ketat ‘sambut’ kepulangan orang ramai di KLIA yang sepi. Suasana sibuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertukar sunyi apabila anda menjejak kaki ke lapangan terbang terbesar negara ketika dunia bergelut dengan penularan wabak COVID-19 dan sekatan perjalanan dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KENA TELITI!!! Prosedur ketat ‘sambut’ kepulangan orang ramai di KLIA yang sepi. Suasana sibuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertukar sunyi apabila anda menjejak kaki ke lapangan terbang terbesar negara ketika dunia bergelut dengan penularan wabak COVID-19 dan sekatan perjalanan dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pintu masuk antarabangsa yang sentiasa dibanjiri ribuan orang pada satu masa - dengan penumpang berjumlah 62.3 juta tahun lepas - kini seolah-olah sepi ditinggalkan, dan lebih janggal, tidak banyak kenderaan di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di luar bangunan terminal.

Di dalam bangunan, terdapat banyak tempat duduk kosong, barisan di kaunter daftar masuk hampir tiada individu, restoran dan kebanyakan kedai ditutup, serta jarang kedengaran pengumuman dibuat. Hanya lagu-lagu kerohanian yang bergema di dewan terminal.

Terdapat mesin pengimbas suhu badan diletakkan di hadapan kaunter daftar masuk penumpang, petugas serta anak kapal, perlu melaluinya. Hanya mereka yang mempunyai suhu badan di bawah 37.5 darjah Celsius dibenarkan untuk melepasi terminal.

Tinjauan Bernama di kawasan tersebut mendapati, terdapat kurang daripada 10 penerbangan keluar yang didaftarkan pada hari tersebut, dengan kurang daripada 100 penumpang antarabangsa dilihat beratur untuk mendaftar masuk.

Penumpang dilihat memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan, dan terdapat seorang penumpang, yang dipercayai menuju ke Taipei, memakai alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap untuk melindungi dirinya.

Ketika COVID-19 terus menular ke seluruh dunia, sepertiga daripada penduduk dunia dikenakan sekatan pergerakan dan ‘berkurung’ di rumah masing-masing, manakala beberapa rakyat Malaysia di luar negara 'bergelut' untuk pulang ke tanah air.

Pengarah Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Hussein Omar Khan, semasa taklimat dengan Bernama baru-baru ini, berkata, KLIA menjangkakan ribuan rakyat Malaysia dan rakyat asing seperti diplomat, ekspatriat dan pasangan mereka akan pulang ke negara ini.

“Mereka pulang dari pelbagai negara, sama ada melalui misi kemanusiaan yang diatur oleh kerajaan atau melalui penerbangan komersial yang diuruskan mereka sendiri. Proses ini akan berlanjutan sehingga PKP berakhir, dan sekiranya PKP dilanjutkan, maka proses yang sama akan berulang sehingga ada arahan lebih lanjut oleh kerajaan,” katanya di pusat operasi NADMA di KLIA, yang beroperasi selama 24 jam.

Sehingga 30 April, 25,031 rakyat Malaysia kembali dari luar negara dan diwajibkan menjalani kuarantin yang dikuatkuasakan sejak 3 April. Sejak 17 April, sejumlah 11,119 individu telah dibenarkan pulang, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai penyelaras yang ditugaskan untuk membawa rakyat Malaysia kembali dari luar negara semasa wabak COVID-19, NADMA telah diberi tanggungjawab untuk mengatur dan membahagikan tugas kepada setiap pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi ini.

Ini adalah tugas yang mengambil masa dan teliti tetapi terancang dan teratur. Semuanya dilaksanakan mengikut peraturan dan setiap petugas mempunyai tugasan masing-masing untuk membendung wabak COVID-19.

Mereka yang terlibat di KLIA terdiri daripada 25 anggota NADMA, 35 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (30), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) (30), enam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan empat anggota Jabatan Penjara.

Melalui pemerhatian Bernama, penerbangan masuk dari Doha, Qatar tiba di KLIA sekitar jam 2 petang dengan membawa 45 penumpang. Sebaik mendarat, para penumpang dibawa menaiki bas selama lima minit dari bangunan satelit ke pangkalan hubungan, kawasan proses saringan dilakukan.

Semua penumpang harus melalui mesin pengimbas suhu badan sebelum prosedur pemeriksaan COVID-19 dijalankan dan mereka perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan.

Para penumpang dibahagikan mengikut kumpulan iaitu mereka yang tidak mengalami simptom perlu menjalani kuarantin kira-kira 14 hari di pusat kuarantin, mereka yang mempunyai gejala akan segera dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, dan mereka yang menghidap penyakit lain akan diambil sampel.

Setelah menjalani pemeriksaan kesihatan, kumpulan tanpa gejala dibenarkan melintasi kaunter imigresen dan ditahan selama 15 minit di tempat menunggu dan selepas itu mereka diminta untuk mengisi maklumat mereka dalam borang pendaftaran.

Mereka kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan - rakyat Malaysia dan bukan warganegara Malaysia - dan dikawal ke kawasan karusel bagasi untuk mengambil barangan masing-masing, diikuti dengan pemeriksaan kastam sebelum melalui balai ketibaan untuk menaiki bas ke pusat kuarantin yang ditetapkan.

Sebelum menaiki bas, barangan penumpang akan disembur dengan cecair pembasmi kuman. Setiap bas terhad kepada 15 penumpang sahaja dan mereka akan diberi taklimat oleh seorang wakil dari Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Dengan bas yang disediakan oleh Smart Selangor, kumpulan rakyat Malaysia dibawa ke pusat kuarantin terpilih, dan untuk kumpulan ini, mereka ditempatkan di Hotel Sunway Clio dan Hotel Sunway Pyramid. Bagi warga asing, mereka diwajibkan membayar penginapan mereka dan hanya dibenarkan menginap di Hotel Sama-Sama.

Setelah pemeriksaan terakhir dan semua penumpang berada di dalam bas, bas akan bergerak menuju ke destinasi masing-masing dengan diiringi polis trafik yang mengawal laluan. Masa yang diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan proses di lapangan terbang adalah sekitar dua jam.

Pada masa ini, terdapat 232 pusat kuarantin di seluruh negara, dan kos untuk setiap warganegara Malaysia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, iaitu berjumlah RM150 sehari, termasuk tiga hidangan makanan.

Dalam menguruskan pusat kuarantin, NADMA telah menubuhkan sekretariat, yang terdiri daripada 30 anggota pada satu masa. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menguruskan pusat kuarantin, manakala KKM melaksanakan pemeriksaan kesihatan selama 14 hari, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjaga kebajikan pesakit dan pihak polis akan memantau keselamatan.

Setelah penumpang tiba di pusat kuarantin, mereka akan diklasifikasikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI). Mereka kemudian akan mendaftar masuk ke bilik masing-masing dan tidak dibenarkan keluar selama 14 hari sepanjang kuarantin.

Setiap bilik adalah khusus untuk seorang PUI, kecuali kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan orang kurang upaya, yang dibenarkan tinggal di bilik yang sama dengan seorang penjaga.

Sekretariat, dengan bantuan pihak pengurusan hotel, akan menghantar makanan kepada pesakit sebanyak tiga kali sehari yang akan diletakkan di atas meja di hadapan pintu bilik masing-masing dan selepas itu pesakit akan diberitahu melalui telefon untuk mengambil makanan. Untuk perkhidmatan bilik, cadar dan sarung bantal akan ditukar pada hari ketujuh.

"Semuanya dikendalikan dengan rapi oleh sekretariat. Sekiranya mana-mana PUI menunjukkan simptom, mereka akan memaklumkan kepada sekretariat dan kakitangan KKM akan merawatnya. Jika perlu, mereka akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, ” jelas Hussein.

Pada hari ke-12, atau dua hari sebelum berakhirnya tempoh kuarantin, satu lagi sampel akan diambil, dan setelah hasilnya disahkan negatif virus tersebut, pesakit akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Atas usaha gigih petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19, serta menjalankan tugas melampaui tugasan hakiki, tanpa mengira penat lelah, mereka wajar diberi pujian dan penghargaan.

Ketika Malaysia mula menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin ini, yang akan menyaksikan banyak sektor ekonomi beroperasi semula, rakyat diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard dan juga sentiasa menjaga kebersihan tangan, memakai penutup mulut dan hidung serta mempraktikkan penjarakan sosial.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers