TERBARU!!! Komuniti sukan lega kelonggaran bersukan . #PKP #COVID19 #ramadankareem #Ramadhan #RamadanMubarak #PDRM #GERAKMALAYSIA #Malaysia #MKN #KKM

TERBARU!!! Komuniti sukan lega kelonggaran bersukan . Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan aktiviti sukan dan senaman berkumpulan tanpa kontak seperti larian, badminton, berbasikal dan golf semalam, menjadi khabar gembira buat komuniti sukan.

TERBARU!!! Komuniti sukan lega kelonggaran bersukan . Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan aktiviti sukan dan senaman berkumpulan tanpa kontak seperti larian, badminton, berbasikal dan golf semalam, menjadi khabar gembira buat komuniti sukan.


Bagi atlet negara, keputusan ini adalah penting khususnya buat mereka yang dalam proses kelayakan ke temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik, di samping mahu mengekalkan kecergasan untuk bertanding di kejohanan akan datang.

Atlet lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail menzahirkan rasa lega apabila dapat melakukan aktiviti luar selepas ‘terperangkap’ di dalam rumahnya di Seri Kembangan, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Selama ini saya memang membuat latihan di dalam rumah, tetapi mempunyai kekangan kerana tinggal di apartment, ruang agak kecil selain takut bunyi bising lompatan akan mengganggu jiran. Agak rindu melakukan lompatan dengan teknik yang betul. Di rumah lebih kepada memperbaiki kemahiran, fleksibiliti otot dan menonton video lompatan.

“Kalau boleh selepas ini saya hendak berlatih di permukaan lembut seperti padang kerana dah lama berlatih di permukaan keras di rumah,” kata atlet berusia 29 tahun itu, ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Muhammad Hakimi yang memasang impian untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, sedar akan risiko virus COVID-19 apabila menjalani aktiviti bersukan nanti.

“Kita perlu lihat keadaan dulu, mungkin terlalu ramai akan keluar bersenam pada Isnin ini. Jadi, kita kena berhati-hati, pilih tempat yang sesuai dan tidak ramai orang bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Buat masa ini, belum ada sebarang makluman dari Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai bila ia akan dibuka. Saya rasa berlatih di MSN lebih baik kerana orang luar tidak boleh masuk dan ada jurulatih untuk pantau program latihan,” kata pemegang rekod kebangsaan dengan lompatan sejauh 16.77 meter itu.

Muhammad Hakimi yang menggunakan duit sendiri untuk berguru dengan bekas atlet Perancis Teddy Tamgho yang juga pemegang rekod dunia dalam dewan 17.92m, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga hujung tahun ini untuk memulakan pertandingan kelayakan ke Tokyo, selepas Olahraga Dunia (World Athletics) menangguhkan semua kejohanan kelayakan sehingga Disember.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi catatan dalam akaun Twitter semalam berkata, beliau mengarahkan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mengeluarkan garis panduan terperinci kepada atlet dan jurulatih sukan yang dibenarkan bagi mengembangkan skop dan program latihan sedia ada.

Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berterima kasih kepada Perdana Menteri berikutan kelonggaran yang diberikan kepada komuniti sukan berbasikal.

Namun, katanya, kebenaran itu lebih ke arah aktiviti berbasikal rekreasi dan riadah, dengan mematuhi semua saranan yang dikemukan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengamalkan jarakan sosial.

“Bagi latihan melibatkan atlet pula, lebih baik kepada mereka untuk berbasikal di luar, berbanding berbasikal dalam rumah. Namun, kami masih menanti SOP (prosedur operasi standard) daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN dan ISN sebelum mengambil sebarang keputusan untuk memulakan latihan atlet.

“Kebiasaannya, banyak pihak terlibat seperti pelumba, jurulatih, mekanik dan juru urut, jadi kita perlukan garis panduan dan amalan kebersihan yang tepat. Memandangkan aktiviti luar sahaja dibenarkan, bagaimana pula dengan latihan dalam velodrom,” katanya.

Menurut Amarjit, beberapa persoalan juga timbul mengenai SOP untuk memulakan latihan namun mengambil kira bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya, 1 Jun adalah waktu terbaik untuk pelumba kembali menjalani latihan.

“Banyak persoalan juga timbul, seperti jika atlet perlu menjalani ujian saringan dan kuarantin sebelum kembali menjalani latihan, sebab itu kita perlukan SOP dan garis panduan yang betul untuk memulakan latihan,” katanya.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers