TERBARU!!! Mulakan semula ekonomi selepas pertimbangan teliti demi kemampanan ekonomi - Azmin. #PKP #COVID19 #ramadankareem #Ramadhan #RamadanMubarak #PDRM #GERAKMALAYSIA #Malaysia #MKN #KKM

TERBARU!!! Mulakan semula ekonomi selepas pertimbangan teliti demi kemampanan ekonomi - Azmin. Keputusan kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula mulai Isnin ini akan memberi impak positif ke atas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

TERBARU!!! Mulakan semula ekonomi selepas pertimbangan teliti demi kemampanan ekonomi - Azmin. Keputusan kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula mulai Isnin ini akan memberi impak positif ke atas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Beliau berkata pembukaan semula sektor ekonomi akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing dan tempatan, menjana prospek eksport, kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kemampanan pekerjaan.

“Mengambil kira keberkesanan memerangi wabak COVID-19, kini tiba masanya untuk memberi fokus menyeluruh dalam memulakan dan merangsangkan semula sektor ekonomi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi.

“Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah ini, sumber pendapatan negara akan menyusut, pertumbuhan ekonomi akan terencat dan pendapatan perniagaan dan individu juga akan terjejas, malah, kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penyusutan nilai eksport bagi sektor pembuatan sahaja dianggarkan sebanyak RM32 bilion bagi setiap dua minggu PKP beroperasi.

Mohamed Azmin berkata kerajaan membuat keputusan tersebut secara teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab setelah memberi pertimbangan terperinci berdasarkan data dan kajian yang dibentangkan berkaitan dengan situasi kesihatan, kedudukan terkini ekonomi serta kewangan negara.

Beliau berkata berasaskan pematuhan syarat kesihatan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP), tindakan teliti dan berhati-hati ini telah menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahan sektor ekonomi yang dibuka dan pada masa sama, tidak menjejaskan usaha membendung penularan COVID-19.

“Kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggariskan enam kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga berharap dengan pembukaan sektor ekonomi ini, komuniti perniagaan khususnya PKS akan dapat memulihkan semula operasi perniagaan mereka, mengukuhkan aliran tunai, membina semula rantaian bekalan dan menangani risiko kehilangan pasaran eksport.

Pada masa ini, PKS menyumbang 66 peratus kepada tenaga kerja di Malaysia, maka tindakan kerajaan pasti dapat menjamin kelangsungan pekerjaan dan pendapatan pekerja, katanya.

Mohamed Azmin berkata dalam melaksanakan strategi pemulihan ekonomi, komuniti perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu memandangkan amalan  sebelum ini mungkin tidak lagi terpakai.

Syarikat yang sebelum ini banyak bergantung kepada tenaga buruh perlu mengurangkan kebergantungan mereka dan memberi tumpuan lebih kepada automasi serta penggunaan teknologi yang meluas, katanya.

“Di samping itu, proses pendigitalan juga perlu dipercepatkan bagi mengurangkan kontak manusia di dalam premis perniagaan. Pendigitalan kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk kelangsungan perniagaan bagi jangka panjang.

“Dalam tempoh beberapa bulan lepas, penggunaan komunikasi digital telah membantu memudahkan perhubungan rakyat,": katanya.

Beliau berkata mesyuarat secara digital dan webinar telah menjadi kebiasaan selain platform digital juga merupakan elemen penting dalam melancarkan proses perniagaan malah terdapat organisasi yang berjaya memanfaatkan potensi kecerdasan buatan (AI) dan Objek Rangkaian Internet (IoT).

Secara tidak langsung, semua itu telah membantu mentransformasikan negara menjadi sebuah ekonomi digital, katanya.

Mohamed Azmin berkata, bagi syarikat yang terpaksa bergantung kepada tenaga buruh secara intensif tidak boleh mengabaikan aspek perlindungan pekerja, termasuk isu berkaitan kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

Majikan dan pekerja digalakkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan Mytrace bertujuan untuk pengesanan kontak, katanya.

“Justeru, bagi sektor ekonomi yang akan beroperasi mulai 4 Mei ini mereka wajib mematuhi syarat SOP yang telah ditetapkan bagi industri masing-masing. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat berkenaan.

“Perlu ditegaskan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya terdapat kenaikan mendadak kes-kes baharu di mana-mana kawasan," katanya.

Beliau berkata untuk menjamin keberkesanan pematuhan SOP, pengkuatkuasaan menyeluruh dan ketat akan dilaksanakan oleh agensi pengkuatkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri, selain melibatkan ‘penguatkuasaan kendiri’ oleh setiap kementerian dan juga ‘penguatkuasaan komuniti’ demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Semestinya kejayaan membendung penularan COVID-19 adalah hasil sokongan dan kerjasama rakyat di pelbagai peringkat, meliputi pekerja, majikan dan persatuan bukan kerajaan serta keseluruhan jentera kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers