Kenaikan tol PLUS belum muktamad

Kenaikan tol PLUS belum muktamad
Berdasarkan perjanjian dengan konsesi kenaikan kadar tol PLUS Highways hanya dibenarkan 10 peratus sahaja seperti mana diputuskan Perdana Menteri

Tidak ada sebarang kenaikan automatik kadar tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi kenyataan berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan sebelum akhir tahun ini bagi merundingkan semula kadar tol baharu.

Katanya, pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu terdiri daripada pemegang kepentingan utama seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan (MOF), Unit Kerjasama Awam Swasta Pejabat Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Highways Bhd.

Beliau berkata demikian susulan spekulasi dalam media baru-baru ini bahawa kadar tol bagi lebuh raya milik PLUS akan dinaikkan tahun depan.

Fadillah berkata, kerajaan pada 2013 telah memberi jaminan bahawa kadar tol antara bandar akan dikurangkan secara beransur-ansur menjelang 2018 dan mengulangi bahawa kerajaan berhasrat untuk memenuhi janjinya.

Beliau juga mengesahkan bahawa PLUS Highways Bhd, yang dimiliki 51 peratus oleh UEM Bhd, 100 peratus syarikat Khazanah Malaysia di bawah MOF dan 49 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah merundingkan semula perjanjian konsesi yang memperuntukkan kenaikan tol lima peratus bagi setiap tiga tahun.

“Perjanjian konsesi PLUS Highways dirundingkan semula berdasarkan perjanjian konsesi sebelum ini yang membenarkan kenaikan 10 peratus kadar tol setiap tiga tahun seperti diputuskan di bawah Perdana Menteri sebelumnya.

“Apabila PLUS Highways Bhd dimiliki sepenuhnya oleh UEM Berhad dan KWSP pada 2011, perjanjian ini dirundingkan semula dan kenaikan tol dikurangkan kepada lima peratus setiap tiga tahun,” katanya.

Fadillah berkata, kali terakhir kenaikan tol PLUS Lebuh Raya ialah pada 2005 dan sejak itu, kadar tol tidak dinaikkan walaupun perjanjian memperuntukkan kenaikan tol pada 2008 dan 2011.

“Kerajaan berjaya merundingkan semula dan telah memberi pampasan kepada PLUS Highways Bhd untuk memastikan kadar tol kekal sejak 10 tahun lalu,” katanya.


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers