Kerajaan Terengganu dan penduduk setempat negeri itu kesal kerana terpaksa menerima tempias akibat aktiviti pengeluaran dan pengangkutan bauksit yang dilakukan di negeri Pahang.
Ini kerana tindakan syarikat yang beroperasi di Pahang menggunakan Pelabuhan Kemaman sekali gus memberi kesan kepada aktiviti harian dan keselesaan penduduk setempat.
Berikutan itu, kerajaan Terengganu digesa mengambil tindakan tegas untuk menghentikan pengeksportan bauksit yang menggunakan pelabuhan di negeri itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, walaupun rakyat maklum dengan dasar kerajaan negeri yang tidak membenarkan sebarang perlombongan bauksit di negeri ini, namun tindakan syarikat yang beroperasi di Pahang menggunakan Pelabuhan Kemaman, meresahkan mereka.
“Mereka sangat tertekan dengan pencemaran alam sekitar yang sangat teruk dan jalan raya yang rosak serta sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Kita sudah hantar surat kepada kerajaan negeri untuk hentikan pengeksportan bauksit di sini. Jadi, kita minta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk berbincang dengan rakan sejawatnya di Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya permit pengeluaran bauksit di Kuantan itu tidak membabitkan kawasan kita.
“Di samping itu, kita juga berharap campur tangan kerajaan Pusat dalam isu ini kerana pengangkutan bauksit ke Kemaman membabitkan jalan Persekutuan. Kalau Pusat boleh mengasingkan laluan itu maka selesai lah masalah kita,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13, lapor Bernama.
Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim berkata saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pihak tidak bertanggungjawab itu juga tidak relevan kerana pihak terlibat tidak serik dan akan meneruskan aktiviti mereka apabila kelibat pihak berkuasa tidak lagi kelihatan.
Katanya, pihaknya menerima ratusan kes dan saman hasil operasi bersepadu yang disertai polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah.
“Paling penting sekarang ini, penduduk perlu terus membantah tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan bagi memastikan pihak berwajib memandang serius perkara tersebut.
“Penguatkuasaan tidak mampu menghalang mereka, sekalipun kita menyaman sehingga maksimum RM15,000, namun tidak menjadi masalah kepada mereka kerana saya difahamkan pendapatan mereka cukup tinggi dalam sehari.
“Saya dimaklumkan penduduk di sekitar Neram, Jabor dan Air Putih sedang mengumpul ribuan tandatangan untuk disampaikan kepada Menteri Besar supaya hentikan apa-apa permohonan bauksit di Terengganu ekoran pencemaran yang diakibatkan aktiviti itu,” katanya.
Comments
Post a Comment
Follow My Twitter http://twitter.com/iskandarX @iskandarX
Follow My Facebook http://facebook.ocm/iskandarX
Follow My Blog http://feeds.feedburner.com/IskandarxSociety-MakeMoneyOnlineIskandarxStylo
Follow Me on Google ++ https://plus.google.com/u/0/102871867053782912924
Jika Artikel ini Memuaskan Hati Anda, Sila Tulis Review Untuk Kami di: http://www.alexa.com/write/review/iskandarx.com.my
Please Use Proper Words To Comment. Do not put your site or any url link inside comment box please or I will remove the comment.