Isu SRC International: SPRM tunggu respon PM

Isu SRC International: SPRM tunggu respon PM
SPRM akui Najib sibuk tetapi berharap beliau segera memberi maklum balas dengan segera.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih‎ menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak‎ untuk memberi respon mengenai syarikat SRC International Sdn Bhd dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, SPRM berharap Perdana Menteri akan memberi respon secepat mungkin.

“Semuanya terserah kepada beliau memandangkan beliau agak sibuk pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam gala Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, malam tadi.

Pada 12 November lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ‎SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

Beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemubual Najib mengenai isu yang berkaitan dengan siasatan itu.

Najib pada hari yang sama, berkata beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM ‎selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahunya bahawa beliau perlu memberi kenyataan kepada SPRM berhubung isu berkaitan dana politik supaya siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Sebelum itu, Mohd Shukri mengesahkan SPRM telah merakamkan kenyataan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho‎ Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin di luar negara, pada Ahad lepas mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Katanya, kenyataan itu dirakamkan oleh pegawai SPRM, sambil menambah bahawa beliau belum membaca kenyataan yang dibuat oleh Jho Low dan Suboh.

Beliau, bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai kenyataan tersebut.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

– Bernama


Comments


Recent Posts Widget



Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Followers